Laman Web Rasmi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

Laman Web Rasmi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

Hari Sukan Negara 2015 Peringkat Negeri Sabah

TAJAAN...Timbalan Ketua Pengarah (Korporat) DBKK, Bahari Hassan (tengah) menerima sumbangan daripada Pengarah Eksekutif Kumpulan, Angkatan Hebat Sdn. Bhd., Mohd Nur Tahir (keempat dari kanan), bagi acara KK City Run sempena Hari Sukan Negara 2015 Peringkat Negeri Sabah pada 10 Oktober ini.

Orang ramai dijemput untuk menyertai sambutan Hari Sukan Negara 2015 Peringkat Negeri Sabah pada 10 Oktober 2015 jam 6 pagi di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

Hari Sukan Negara disambut serentak di seluruh negara pada Sabtu minggu kedua bulan Oktober pada setiap tahun. Ia melibatkan seluruh lapisan masyarakat sebagai suatu langkah bersepadu yang diambil oleh Kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia kepada negara bersukan.

Selain itu, ia bukan sahaja menggalakkan budaya bersukan tetapi menitikberatkan penglibatan bersama atau ‘mass participation’ dalam aktiviti-aktiviti sukan yang akan merapatkan hubungan rakyat antara satu sama lain tanpa mengira umur, bangsa dan kepercayaan agama.

Selain itu, sambutan ini juga diharapkan dapat membudayakan gaya hidup sihat dengan bersukan supaya dapat mengatasi dan mengelakkan masalah kesihatan dalam kalangan rakyat negara kita.

Di peringkat Negeri Sabah, ia akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman. Antara aktiviti-aktiviti menarik yang akan berlangsung semasa majlis pelancaran adalah senamrobik perdana yang melibatkan Tetamu Kehormat, jemputan VIP dan semua peserta yang hadir di Stadium Hoki. Ia juga adalah sebagai aktiviti ‘warm-up’ atau aktiviti memanaskan badan untuk peserta larian dan berbasikal.

Dalam sambutan ini, acara KK City Run 2015 akan dilepaskan oleh Ketua Menteri Sabah. Larian 4km ini adalah berkonsepkan ‘Run For Fun’ dan ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur. Tiada yuran pendaftaran dikenakan untuk larian ini.

Peserta yang berjaya menamatkan larian dalam masa sejam akan layak menerima sijil penyertaan dan menyertai cabutan tiket bertuah. Sebanyak 100 hadiah cabutan tiket bertuah akan disediakan, manakala 250 peserta terawal yang menamatkan larian akan layak menerima medal Kategori Terbuka (Lelaki dan Wanita) dan Kategori Pelajar Sekolah Menengah dan Rendah (Lelaki dan Perempuan). Sasaran penyertaan untuk KK City Run dan Senamrobik Perdana adalah seramai 20,000 orang.

Selain itu, YAB Ketua Menteri juga akan melepaskan peserta Program Berbasikal Bebas Dadah yang diselaraskan oleh PEMADAM Bandaraya Kota Kinabalu. Jarak berbasikal ini adalah sejauh 16 km dan semua peserta akan layak menerima sijil penyertaan dan menyertai cabutan tiket bertuah. Sejumlah 50 hadiah cabutan tiket bertuah akan disediakan. Sasaran penyertaan adalah seramai 2,000 orang.

Disamping itu, YAB Ketua Menteri juga dijangka akan menyertai acara berbasikal ini bersama-sama dengan dif-dif jemputan yang lain.

Bagi mereka yang tidak menyertai acara larian mahupun berbasikal, para pengunjung boleh melawat ke kawasan sekitar Kompleks Sukan Kota Kinabalu untuk beberapa poket-poket aktiviti atau pun meninjau gerai-gerai pameran dan jualan barangan sukan yang disediakan.

Antara peserta pameran yang terlibat pada hari tersebut adalah Grace One Group Sdn. Bhd., TELEKOM, BP Healthcare Group, Celcom, Fruito Juice Bar, Sport De Ny, Pedal Shop dan ramai lagi.

Selepas acara berbasikal, YAB Ketua Menteri akan merasmikan padang bola sepak sintetik yang terletak di dalam kawasan Stadium Likas. Orang ramai juga bakal menyaksikan perlawanan persahabatan bola sepak antara ‘Pasukan Gabungan Mantan Pemain Bola Sepak Sabah’ melawan ‘Sabah Artist United’ di padang bola sepak sintetik berkenaan selepas upacara perasmian.

Dalam sambutan ini, pihak penganjur menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk cabutan tiket bertuah. Bagi acara KK City Run, hadiah cabutan tiket bertuah adalah berupa telefon pintar, barangan elektrik, basikal, beras, hamper dan hadiah utama adalah motosikal Demak EX90.

Manakala bagi peserta Berbasikal Bebas Dadah, penganjur telah menyediakan 50 hadiah yang menarik untuk cabutan tiket bertuah dengan hadiah berupa hamper, baucar barangan basikal dan hadiah utama adalah basikal bernilai RM1,800.

Penaja-penaja korporat yang telah membantu program ini adalah BERNAS, Angkatan Hebat Sdn. Bhd., Warisan Harta, Bank Rakyat, Nestle Products, TELEKOM, Celcom, KSH Bicycle Shop, YY Bikes, Spring Trading, 88 Bikers, Pedal Shop dan ramai lagi.

Selain daripada sesi cabutan tiket bertuah, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan hiburan oleh artis-artis tempatan seperti Busska Busker, Mimi Rubisa AF, Amin Wali, DJ Upang dan ramai lagi.

Bagi memberikan laluan kepada acara ini, penutupan jalan raya secara berperingkat akan dilakukan bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari iaitu dari Bulatan Hoki, Jalan Kompleks Sukan Kota Kinabalu hingga ke Jalan Istiadat dan sepanjang laluan peserta KK City Run dan acara Berbasikal Bebas Dadah.

Laluan untuk peserta KK City Run akan melibatkan Jalan Punai Tanah - Lorong Jelatik - Jalan Mergastua - Jalan Teluk Likas - Jalan Istiadat dan tamat di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

Manakala peserta Berbasikal Bebas Dadah akan melalui Jalan Kompleks Sukan Likas - Jalan Istiadat - Jalan Tun Fuad Stephen - Jalan UMS – Dewan Canselori UMS dan kembali melalui Jalan Tun Fuad Stephen – Jalan Pasir - Jalan Tuaran dan berakhir di Jalan Kompleks Sukan.

Selain itu, penutupan jalan raya secara sementara juga akan dilakukan semasa raptai penuh (9 Oktober) dan hari sebenar dari jam 7.30 pagi hingga 9.30 pagi iaitu dari Bulatan Perkasa hingga ke Bulatan Istiadat dan dari simpang tiga Jalan Istana – Jalan Bukit Bendera ke Jalan Istiadat.

Pada hari tersebut, orang awam dinasihatkan untuk datang awal dan mereka boleh meletakkan kenderaan di sekitar Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi 088-521800 / Pn. Norsarahana 016-8294183/ En. Emmanuel 019-8233906 atau layari laman web www.dbkk.sabah.gov.my.

SUMBANGAN...Timbalan Ketua Pengarah (Korporat) DBKK, Bahari Hassan (keempat dari kiri) menerima sumbangan daripada Pengurus Unit Strategik dan Pembangunan Perniagaan, Beras Corporation Sdn. Bhd., Robert Joimil Jr.  (keempat dari kanan), untuk acara KK City Run sempena Hari Sukan Negara 2015 Peringkat Negeri Sabah pada 10 Oktober ini.

3

4