Laman Web Rasmi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

KARNIVAL TAHUN BARU CINA 2016

KOTA KINABALU: Orang ramai dijemput untuk menyaksikan Karnival Tahun Baru Cina 2016 yang akan dilangsungkan pada 29 hingga 31 Januari 2016, dari pukul 6 petang hingga 11 malam di Lintasan Deasoka dan Jalan Gaya.

Karnival ini merupakan anjuran bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Gabungan Persatuan Cina Sabah (Federation of Chinese Associations Sabah).

Majlis Perasmian akan disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah, pada Jumaat, 29 Januari 2016, pukul 8.00 malam.  Antara acara menarik  yang  akan diadakan adalah persembahan paluan gendang 24 musim, tarian singa, acara “Lau Sang”, persembahan nyanyian, kebudayaan, koir dan banyak lagi.  Malam pertama ini akan diakhiri dengan pertunjukan bunga api.
Pada hari kedua karnival iaitu 30 Januari (Sabtu), majlis bersama warga emas dan kanak-kanak akan diadakan di Lintasan Deasoka yang akan disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Hj. Tussin, Isteri YAB Ketua Menteri Sabah. Bersempena dengan majlis ini, para penonton akan dihiburkan dengan persembahan tarian kebudayaan, nyanyian dan lain-lain.
Manakala pada hari terakhir karnival, iaitu 31 Januari (Ahad), Majlis Penutupan Karnival akan disempurnakan oleh YB Datuk Ir. Edward Yong Oui Fah, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri selaku Menteri Bertanggungjawab Kepada DBKK. Pada malam terakhir ini, acara kemuncak adalah Pertandingan Cheongsam serta pertunjukan bunga api.

Di sepanjang karnival ini, orang ramai juga berpeluang untuk berkunjung dan membeli-belah di 420 gerai yang akan dibuka di sepanjang tiga blok kedai Jalan Gaya bermula pukul 6 petang. Gerai-gerai ini menjual barangan keperluan sempena sambutan Tahun Baru Cina, makanan dan minuman serta pelbagai barangan tempatan.

Bagi memberi laluan kepada acara ini, Jalan Gaya, Jalan Bandaran dan Jalan Perpustakaan akan ditutup bermula dari pukul 6 petang hingga 11 malam selama tiga malam karnival ini berlangsung.