Laman Web Rasmi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

Laman Web Rasmi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

ACARA ‘JOM BERBASIKAL BEBAS SAMPAH’ PADA 21 MEI 2016

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu akan mengadakan acara ‘Jom Berbasikal Bebas Sampah’ pada Sabtu ini, 21 Mei 2016 bermula jam 6.30 pagi di Pekarangan Bangunan DBKK.   

Acara ini diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-16 Bandaraya Kota Kinabalu dengan objektif untuk merealisasikan visi DBKK untuk menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandaraya yang bersih, hijau dan selesa untuk didiami melalui Kempen Anti Kutu Sampah.

 Selain itu, acara ini juga mewujudkan kesedaran kepada warga kota bahawa persekitaran yang bersih akan membantu sektor pelancongan dan perniagaan. Ia juga membawa mesej kepada pengguna jalan raya serta orang awam supaya sentiasa peka terhadap kebersihan dan tidak membuang sampah di jalan raya atau di merata-rata tempat.

Di samping itu, acara ini juga menggalakkan gaya hidup sihat sekeluarga dan melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab. Ia juga bertujuan untuk mewujudkan perpaduan dan jalinan hubungan baik di antara pelbagai lapisan masyarakat dan pemimpin masyarakat tempatan.

Seramai 300 peserta dijangka menyertai kayuhan sejauh 31 km ini yang akan dilepaskan oleh YBhg. Datuk Hajah Raya Erom, Pengerusi Eksekutif, Yayasan 1Suria pada jam 6.30 pagi bermula dari Pekarangan Bangunan DBKK hingga ke Pekan Telipok.

Satu kelainan yang dibawakan oleh acara ini adalah kayuhan sambil berkempen mengenai kepentingan menjaga kebersihan bandaraya dan aktiviti bergotong royong di Pekan Telipok, dari jam 7.30 pagi hingga 8.15 pagi, yang akan disertai oleh YB Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna yang juga ADUN N.12 Karambunai.

Kayuhan ini akan melibatkan laluan dari  Bangunan DBKK – Jalan KK Bypass - Jalan Tun Fuad Stephens – Jalan UMS – Jalan Sepanggar (Indah Permai) – Jalan Tuaran – Pekan Telipok – Jalan Tuaran – Jalan Tuaran Bypass – Jalan Pasir (Masjid Bandaraya) – Jalan Tun Fuad Stephens – Bangunan DBKK.
 
Untuk pertanyaan lanjut, hubungi En. Victor Wong (010-9417389) atau Pn. Mary Popong (019-8696940).