Kursus Kesedaran Komuniti : Kebun Bandar Siri 2/2022 (Hidroponik &Fertigasi) telah diadakan di Dewan Nurseri Jabatan Landskap, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu. Kursus ini adalah anjuran bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Pertanian Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (Fakulti Pertanian Lestari) dan merupakan lanjutan kursus kepada peserta – peserta perintis Kebun Bandar Kota Kinabalu yang telah mengikuti kursus Siri 1/2022 pada 29-30 Jun 2022 lalu.

Seramai 25 peserta dari 3 komuniti perintis Kebun Bandar Kota Kinabalu telah mengikuti kursus denganjayanya iaitu Komuniti (Kuarters A) Jabatan Landskap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (JLDBKK), Komuniti (Kuarters B) JL DBKK dan Komuniti (Nurseri)JLDBKK. Para peserta mempelajari secara hands-on teknik penanaman hidroponik dan fertigasi oleh Encik Ahmad Shahrom bin Mohd Shah, pengusaha tanaman hidroponik di Sabah.
 
Kursus ini selanjutnya akan dilaksanakan di komuniti Kebun Bandar di kawasan Sembulan iaitu Komuniti Rukun Tetangga Sempelang & Kg Sembulan Baru, Komuniti JKDB Sempelang dan Komuniti Grace Court pada 20 Ogos 2022 (Sabtu) ini. Kursus ini juga dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Tuan Robert Lipon selaku Pengerusi J/K Kebun Bandar Kota Kinabalu dan Pensyarah Fakulti Pertanian Lestari UMS, Puan Rosmah Murdad.

Program Kebun Bandar Kota Kinabalu adalah program kerjasama di antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Pertanian Sabah dan Universiti Malaysia Sabah bermula April 2022. Melalui program terbuka ini, Komuniti Kebun Bandar Kota Kinabalu akan dibekalkan set pertanian (fertigasi atau hidroponik) serta latihan-latihan bersesuaian mengenai pertanian bandar. Pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu mengalu-alukan komuniti yang berminat untuk mengikuti program Kebun Bandar dan boleh menghubungi Jawatankuasa Kebun Bandar Kota Kinabalu untuk keterangan lanjut.