SOALAN - SOALAN YANG SERING DITANYA
SOALAN   : Apakah ertinya kutu sampah?
JAWAPAN: Kutu sampah ertinya orang yang membuang sampah merata tempat. Ini adalah perbuatan orang yang tidak bersopan dan tidak berdisplin dan tidak bertanggungjawab. Kutu sampah boleh dikenakan denda kompaun oleh pihakberkuasa sehingga RM 500.00.
   
SOALAN   : Mengapakah kempen ini memfokus kepada kutu sampah, dan bukan sampah?
JAWAPAN: Kempen ini tidak memfokus kepada sampah kerana tidak ada salah pada sampah. Semua orang menghasilkan sampah. Jika sampah terbuang merata tempat, itu bukan salah sampah. Yang bersalah ialah orang yang membuang sampah, dan orang yang membuang sampah itu dipanggil KUTU SAMPAH.
   
SOALAN   : Apakah ertinya premis tanpa sampah?
JAWAPAN: Premis tanpa sampah bererti tidak ada sampah dibuang merata tempat dalam premis itu. Ia tidak bermakna premis itu langsung tiada sampah. Ada sampah, tapi dibuang di tempat yang betul, iaitu di dalam tong sampah.
   
SOALAN   : Kebanyakan pejabat, bank, dan mungkin juga sekolah sudah tanpa sampah, mangapakah perlu lagi mengisytiharkan premis-premis ini sebagai premis tanpa sampah?
JAWAPAN: Ini memang tidak dinafikan. Tapi, mesej yang hendak disampaikan penting, kerana premis tanpa sampah bererti:-
   
i) Semua orang yang bekerja di premis tanpa sampah adalah terdiri daripada mereka yang bersopan dan berdisplin. Mereka tidak membuang sampah  merata tempat di premis itu, dan di mana saja mereka berada.
ii) Semua orang yang bekerja di premis tanpa sampah adalah terdiri daripada mereka yang bersopan dan berdisplin. Mereka sentiasa bercakap tentang kempen ini di mana saja mereka berada.
iii) Pelawat ke premis tanpa sampah mengetahui dan menyedari hal keadaan premis itu tanpa sampah, dan seterusnya mereka terpengaruh, dan mereka tidak akan membuang sampah merata tempat di mana saja mereka berada.
   
SOALAN   : Konsep LiFE bermakna Litter Free Event. Adakah ini bermakna kita tidak membuang sampah merata tempat semasa sesuatu acara saja? Di luar  lokasi acara itu atau selepas acara itu bolehlah kita membuang sampah merata tempat?
JAWAPAN: Sama sekali tidak! LiFE bukan sahaja bermakna Litter Free Event, tapi ia juga bermakna Litter Free Everywhere; Litter Free Everyday; dan Litter Free Everyone.
   
SOALAN   : Mengapakah saya harus menyertai kempen anti kutu sampah ini? Apakah untuk saya jika saya menyertainya?
JAWAPAN: Usah ditanya apakah untuk anda jika anda menyertai kempen ini. Anda menyertainya kerana anda prihatin dan kerana anda jijik melihat sampah dan kutu-kutu sampah yang berkeliaran. Anda juga menyertainya kerana dengan penuh kesedaran bahawa jika sampah terbuang, ia tidak akan hilang begitu saja melainkan ada orang yang memungutnya ataupun sehingga ia reput. Jika kertas tisu yang terbuang, ia akan reput dalam tempoh 3 minggu; kertas biasa akan reput dalam masa 3 bulan; plastik akan reput dalam masa 30 tahun, dsb.
   
SOALAN   : Bagaimanakah saya boleh menyertai kempen ini?
JAWAPAN: Pertama, dengan kita berhenti membuang sampah merata tempat, kita sudah menyertai  kempen ini. Itu mudah, kita hanya perlu beri tahu diri kita sendiri, dan berhentilah membuang sampah merata tempat dengan serta merta, tidak perlu tangguh-tangguh. Kedua, nasihatkan keluarga sendiri jangan membuang sampah merata tempat. Ketiga, berikan nasihat yang sama kepada saudara mara dan rakan-rakan. Kalau dapat, tegurlah orang yang membuang sampah. Seterusnya, sertai gotong royong menangkap kutu sampah yang dianjurkan oleh DBKK. Lebih penting lagi, bantulah mewujudkan premis-premis tanpa sampah. Manual pengwujudan premis-premis tanpa sampah telah disediakan oleh DBKK.
   
SOALAN   : Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh DBKK dalam kempen ini?
JAWAPAN: Dalam kempen ini DBKK hendak menyampaikan mesej ”buanglah sampah di tempat yang betul dan dengan cara yang betul. Hentikanlah amalan buang dahulu, nanti pungut kemudian”. Tempat yang betul membuang sampah ialah di tong sampah, bukan ke kakilima, ke jalanraya, ke dalam parit, sungai atau laut. Cara yang betul membuang sampah ialah simpan sampah dahulu, terjumpa tong sampah baru buang. Begitu juga dalam kenderaan, simpan sampah dalam kereta, kemudian buanglah ke tong sampah.
   
SOALAN   : Saya ini seorang perokok. Bolehkah saya membuang puntung rokok merata tempat, kerana itu hanya puntung rokok saja?
JAWAPAN:  Tidak boleh! Walaupun  ia hanya sebatang puntung rokok, ia tetap sampah. Seorang perokok boleh membuang puntung rokok sehingga 10 batang sehari. 10 orang boleh membuang 100 batang puntung rokok. Ini kan sampah !
   
SOALAN   : Kalau begitu bagaimanakah saya membuang puntung rokok dengan cara yang betul?
JAWAPAN:           Mudah sahaja. Ada berbagai cara:-
   
i) Kalau anda merokok dalam kenderaan, buanglah puntung rokok ke dalan ash tray dalam kereta anda;
ii) Kalau anda merokok ketika sedang berjalan kaki, buanglah puntung rokok ke ash tray yang disediakan khas untuk anda pada tong-tong sampah;
iii) Kalau tidak ada tong sampah yang ada ash tray, jatuhkan puntung rokok ke atas tanah / jalanraya dan pijak untuk memadamkan apinya, kemudian kutip dan masukkan ke dalam tong sampah; atau
iv) Amalkan membawa bersama anda pocket ash tray. Tapi, walau apapun, lebih baik berhenti merokok supaya anda boleh berjimat cermat
   
SOALAN   : Setelah membaca jawapan-jawapan yang diberikan, saya sudah menjadi warga bandaraya yang bersopan dan berdisplin. Saya tidak akan membuang sampah merata tempat di mana saja saya berada. Apakah yang saya boleh lakukan untuk menjayakan kempen ini?
JAWAPAN: Terimakasih. Anda boleh menyumbang kepada kempen ini dengan sentiasa bercakap tentang kempen ini di mana saja anda berada. Mulakan dengan keluarga sendiri di rumah, kemudian dengan saudara-saudara dan rakan-rakan.
   

SELAMAT BERKEMPEN