PERANAN JABATAN

Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (MPKK) telah dinaikkan taraf ke Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan rasminya pada 2hb Februari 2000. Sejajar dengan kenaikkan taraf ini, Jabatan Pengurusan Awam telah dinaiktarafkan daripada Pejabat Pembangunan Luar Bandar dan menggantikan Pejabat Timbalan Presiden di DBKK. Jabatan ini telah bertukar nama kepada Jabatan Pentadbiran Dan Hal Ehwal Awam dan Jabatan Perkhidmatan Luar Bandar.
 
Pada 11hb Ogos 2004, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia DBKK telah menukarkan nama Jabatan ini kepada Jabatan Pengurusan Sub Urban (JPSU). Ianya bertindak khusus dalam urusan luarbandar (luar perkadaran DBKK) dan juga melaksanakan program dalam Bandaraya amnya. Ini disebabkan masih terdapat banyak kampung tradisi dalam Bandaraya (contohnya Kg. Sembulan, Kg. Tg. Aru, Kg. Likas, kawasan Inanam) yang mempunyai ciri-ciri tertentu serta pendekatan yang menjurus kepada adat istiadat/ hal ehwal bumiputra. Walau bagaimanapun, pada tahun 2005 peranan jabatan ini semakin berkembang dari segi membasmi kemiskinan di kawasan luar Bandar dan kawasan Bandar. Pegawai Tadbir Jabatan Pengurusan Sub Urban juga menjadi peranan sebagai Pegawai Penyelaras Pembasmian Kemiskinan dalam Bandar dan luar Bandar.
 

Pada tahun 2016, jabatan ini ditukarkan nama kepada Jabatan Kesejahteraan Masyarakat. Pengarah Jabatan Kesejahteraan Masyarakat memainkan peranan sebagai Pegawai Daerah serta bertanggungjawab sebagai Ketua Mahkamah Anak Negeri, Kota Kinabalu. Sebagai sebuah jabatan yang baru, aspek penggunaan tenaga kerja sama ada mahir ataupun separuh mahir merupakan pra syarat utama bagi memenuhi keperluan terhadap pembangunan yang efektif, bersepadu dan sistematik di peringkat daerah selari dengan aspirasi pembangunan negeri.
 

OBJEKTIF

  1. Untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi serta kualiti hidup secara menyeluruh terutamanya penduduk luar bandar dan amalan pembangunan mapan serta bersepadu.

  2. Untuk menwujudkan sinergi dan mengoptimumkan keupayaan dan sumber institusi-institusi yang sedia ada bagi merealisasikan matlamat-matlamat pembangunan luar bandar.

  3. Untuk menyediakan satu rangka kerja yang membolehkan penglibatan sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO’s) dan komuniti setempat secara aktif dalam pembangunan luar bandar.

  4. Untuk memberi khidmat yang lebih efisien dan berkualiti, sistematik serta professional.

  5. Untuk membantu golongan miskin di bandar dan luar bandar dengan menyediakan program-program komprehensif dan sub program supaya dapat mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

 

VISI

  1. Mewujud dan membangunkan sistem pengurusan yang berkualiti dalam hal ehwal masyarakat khususnya di luar bandar.

  2. Membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang mantap dan berketrampilan.

 

MISI

  1. Bertanggungjawab untuk mengurus pembangunan hal ehwal masyarakat luar bandar.

  2. Melaksana aktiviti-aktiviti dibawah projek pembangunan yang seimbang dan bersepadu diantara masyarakat bandar dan luar bandar.