APRIL 2024

Tindakan Pemeriksaan dan Penggredan Premis Makanan Diteruskan

30 April 2024: Sejumlah 40 premis makanan di Kolam Centre, Heritage Plaza, Kolombong dan Asia City telah diperiksa dan digredkan pada 27 April lalu, oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
 
Dalam pemeriksaan tersebut, sebuah premis telah mendapat Gred A, 17 buah premis mendapat Gred B dan 22 premis lagi merupakan pemeriksaan susulan.
 
Penarafan Bintang Tandas juga telah dijalankan dengan dua (2) premis mendapat 3 Bintang, empat (4) premis mendapat 1 Bintang ke bawah, manakala 12 premis lagi tidak mempunyai tandas untuk digred.
 
Sejumlah 12 kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 atas pelbagai kesalahan seperti pengendali makanan tidak memiliki Kad Pengenalan Pengendali Makanan yang sah, meletakkan kerusi meja di kaki lima tanpa permit, menjalankan aktiviti memasak dan penyediaan makanan di kaki lima atau ruang legar serta menjalankan perniagaan dengan lesen tamat tempoh.
 
10 Notis Arahan Penambahbaikan juga dikeluarkan kepada pengusaha premis agar tidak mengotorkan kaki lima serta diarahkan menjalankan ‘pest control’. Pengusaha turut diarahkan tidak menggunakan kertas surat khabar untuk membungkus sayur dan mengalihkan pinggan mangkuk yang retak.
 
Pengusaha premis makanan dinasihatkan untuk mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada dan sentiasa menjaga kebersihan tandas dan premis makanan.

KK Cleanup Day 2.0: Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar

30 April 2024: Kebersihan kawasan pulau sekitar bandar raya Kota Kinabalu merupakan salah satu aspek penting yang dititikberatkan oleh DBKK. Pulau yang bersih akan berupaya menarik lebih ramai pelancong dan menjamin kelestarian alam sekitar.
 
Selaras dengan penekanan ini, DBKK telah mengambil inisiatif untuk mengadakan “KK Cleanup Day 2.0: Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar” pada 06-08 Mei 2024 akan datang. Program kebersihan ini akan melibatkan semua kawasan kampung di kepulauan yang didaftarkan dalam rekod DBKK.
 
Program yang bakal diadakan di Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar tersebut merupakan kesinambungan daripada program “KK Cleanup Day” yang telah mula diadakan sejak tahun 2021 lalu, sehingga berjaya merekodkan kejayaan pelupusan lebih 10 tan sampah dalam setiap program yang diadakan.
 
Bagi memaklumkan kepada penduduk kampung berhubung penganjuran program ini, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) DBKK telah mengadakan sesi taklimat dan sesi libat urus pada 29 dan 30 April 2024, di semua kawasan kampung yang terlibat iaitu Kampung Lok Urai, Kampung Kasuapan, Kampung Pulau Gaya Asli, Kampung Lobong dan Kampung Torong Logong di Pulau Gaya; serta di Kampung Pulau Sepanggar yang terletak di Pulau Sepanggar.
 
DBKK amat bersukacita apabila menerima sambutan yang positif daripada penduduk kampung terlibat. Semoga program ini mampu memberikan impak yang berkesan dan seterusnya meningkatkan kesedaran masyarakat awam untuk melupuskan sampah dengan bertanggungjawab.
 
Seluruh warga Bandaraya Kota Kinabalu juga disarankan untuk bersama-sama menyokong program “KK Cleanup Day 2.0: Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar” yang bakal diadakan 06-08 Mei 2024, dengan membersihkan persekitaran rumah masing-masing sebagai tanda sokongan kepada program yang diadakan.
 
Jom ikuti perkembangan program “KK Cleanup Day 2.0: Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar” dengan melayari laman TikTok dan Facebook “KK Bersih Dan Hijau”.

DBKK Terima Anugerah Asean Clean Tourist City Standards Peringkat Kebangsaan Tahun 2024-2026

30 April 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sekali lagi dianugerahi Asean Clean Tourist City Standards Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2024-2026.

Anugerah ini telah disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Puan Masliza Che Omar kepada Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Encik Robert B. Lipon yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, dalam satu majlis pada 29 April 2024 di Cyberview Resorts & Spa, Cyberjaya.

Standard Pelancongan ASEAN merupakan satu (1) ketetapan piawaian oleh negara ASEAN bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dalam industri pelancongan serantau selaras dengan Pelan Pelancongan Strategik ASEAN 2016-2025 ke arah menjadikan ASEAN sebagai destinasi unggul di peringkat antarabangsa.

Kejayaan DBKK merangkul anugerah ini adalah berdasarkan pematuhan semua kriteria penilaian ASEAN Clean Tourist City Standard, yang merupakan piawaian serta panduan utama kepada semua negara ASEAN dalam menyediakan penyampaian perkhidmatan pelancongan yang berkualiti dan berprestasi tinggi.

Sesi penilaian telah dijalankan pada Ogos 2023 lalu, oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC). Untuk rekod, penerimaan Anugerah ini merupakan pencapaian kali ketiga DBKK setelah berjaya merangkul Anugerah yang sama pada tahun 2018-2020 dan 2020-2022.

Penyerahan Sijil Anugerah Asean Clean Tourist City Standards Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 2024-2026 telah disempurnakan hari ini, 30 April 2024, kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah.

Tahniah diucapkan kepada seluruh warga kerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di atas pengiktirafan ini.

Operasi Rintis di Taman Antarabangsa, Likas

30 April 2024: Pasukan Unit Pemotongan Rumput, Jabatan Landskap, DBKK telah menjalankan Operasi Rintis di Taman Antarabangsa, Likas pada 27 & 28 April 2024 lalu.

Operasi selama dua (2) hari ini melibatkan kerja-kerja merintis dan membersihkan belukar, tumbuhan liar, tumbuhan menjalar, mencantas dahan pokok, memotong rumput, mengemas serta membersihkan tanaman terbiar dan bunga hiasan berpasu yang tidak terurus.

Pembersihan sisa kebun penduduk dan sisa kebun di kawasan lapang turut telah dilaksanakan.

Operasi pembersihan dijalankan ekoran aduan semak belukar di taman berkenaan. Penduduk dinasihatkan untuk sentiasa menjaga dan memastikan kebersihan dan kekemasan persekitaran kawasan perumahan serta menyelenggara tanaman persendirian untuk keselesaan bersama.

Kawasan perumahan yang kemas dan teratur dapat memudahkan tugas DBKK dalam menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan rutin seperti pembersihan parit, pemotongan rumput dan penyelenggaraan pokok.

Pemeriksaan Ke Atas Premis Makanan Di Jalan Lintas

29 April 2024: Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis makanan yang terletak di Jalan Lintas, ke arah meningkatkan tahap kebersihan premis makanan Gred C di Bandaraya Kota Kinabalu.

 

Semasa pemeriksaan pertama pada Januari lalu, premis makanan tersebut telah diberikan teguran untuk mengambil tindakan penambahbaikan.

 

DBKK kemudiannya menjalankan pemeriksaan susulan kedua pada 20 April 2024. Namun premis tersebut masih tidak mencapai komponen pemarkahan yang telah ditetapkan dan masih mendapat Gred C.

 

Antara penemuan yang dikenal pasti adalah keadaan dalam peti sejuk yang kurang bersih dan tidak teratur, peralatan kulinari yang kurang bersih, pengendali makanan tidak memakai apron dan penutup kepala, kebersihan tandas premis yang kurang memuaskan dan perangkap lemak tidak diselenggara dengan baik.

 

Notis Arahan Penambahbaikan telah dikeluarkan bagi penemuan-penemuan yang dinyatakan. Pada masa sama, satu (1) kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 atas kesalahan perangkap lemak tidak diselenggara dengan baik.

 

Hasil pemeriksaan susulan ketiga pada 27 April lalu telah mendapati pengusaha premis telah mematuhi Notis Arahan Penambahbaikan dan telah mencapai komponen pemarkahan yang telah ditetapkan. Premis tersebut kini telah berjaya mencapai Gred B dan mendapat penarafan tandas 1 Bintang.

 

Pengusaha premis turut diarahkan untuk menjalankan aktiviti kawalan makhluk perosak (‘pest control’) dan sentiasa mengekalkan kebersihan premis serta tidak melakukan kesalahan yang berulang.

Sebuah Syarikat Perniagaan Barangan 'Bundle' Diarahkan Untuk Menghentikan Aktiviti Jualan Serta-Merta

28 April 2024: Sebuah syarikat perniagaan barangan ‘bundle’ yang beroperasi di pusat bandar raya di sini, kelmarin, telah diberikan arahan untuk menghentikan aktiviti jualan mereka dengan serta-merta, sehingga mendapat kelulusan daripada pihak DBKK.

Hasil tinjauan DBKK telah mendapati syarikat perniagaan tersebut menjalankan aktiviti jualan mereka di kawasan terbuka dan siar kaki Warisan Square sehingga mengganggu laluan awam. Pemilik premis turut diberikan arahan untuk mengalihkan barangan jualan dengan serta-merta.

Operasi tindakan khas ini telah dijalankan secara bersepadu oleh anggota-anggota Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan, DBKK sekitar 8.50 malam.

 
DBKK menasihatkan kepada semua pemilik perniagaan untuk tidak menjalankan operasi perniagaan tanpa kelulusan yang sah daripada DBKK dan menjalankan aktiviti perniagaan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Operasi Pembersihan Parit Komersil Dan Parit Perumahan

28 APRIL 2024 Unit Pembersihan Parit, Jabatan Landskap DBKK telah menjalankan operasi pembersihan parit komersil dan parit perumahan yang tertumpu di kawasan komersil Kolombong dan perumahan Taman Khidmat. Tindakan perbersihan di kawasan tersebut dibuat ekoran aduan yang diterima beberapa hari lalu iaitu parit dipenuhi tumbuhan liar, sisa tanaman dan mendapan lumpur yang menyebabkan aliran parit terganggu.
 
Pembersihan parit kawasan komersil dilaksanakan pada hujung minggu bagi keselesaan pengusaha dan pelanggan premis/kedai serta mengelakkan gangguan trafik. DBKK bertanggungjawab ke atas pembersihan parit perumahan, parit belakang dengan jadual 2 kali setahun, manakala parit hadapan adalah dibawah kendalian syarikat konsesi Pembinaan Kekal Mewah.
 

Penduduk di taman perumahan dinasihatkan agar tidak menanam tumbuhan atau pokok-pokok yang besar, tidak membina struktur tambahan melebihi kawasan dibenarkan dan tidak menutup laluan belakang yang boleh menyebabkan kesukaran kerja-kerja pembersihan parit dijalankan oleh DBKK.