Aktiviti menuai sayuran salad hidroponik Kebun Bandar Kawasan Sembulan telah dilaksanakan di Taman Sempelang Sembulan pada 30 September 2022. Set pertanian hidroponik ini adalah biayaan Jabatan Pertanian Sabah kepada komuniti-komuniti Kebun Bandar terpilih di Kota Kinabalu di bawah program Kebun Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Untuk kawasan Sembulan, tiga (3) komuniti perintis telah terpilih iaitu Komuniti Rukun Tetangga Taman Sempelang dan Kampung Sembulan Baru, Komuniti JKDB Sempelang serta Komuniti Grace Court yang mana telah dibekalkan set pertanian hidroponik dan set fertigasi oleh Jabatan Pertanian Sabah pada 19 Ogos 2022 lalu.
Komuniti perintis kebun bandar ini telah dibimbing tatacara penjagaan bermula penyemaian sehinggalah penuaian oleh Jabatan Pertanian Sabah dan pada hari ini komuniti kawasan Sembulan melakar sejarah dapat menghasilkan tuaian pertama sayuran salad hidroponik. Sebanyak 120 pot salad atau 6000gram salad segar telah dituai iaitu 50gram salad untuk satu pot. Kesemua komuniti berasa gembira dan bersyukur kerana dapat mempelajari teknik hidroponik seterusnya menikmati tuaian sayur salad pertama.
Aktiviti penuaian ini telah disaksikan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Kebun Bandar Kota Kinabalu, Pegawai Jabatan Landskap DBKK dan Ketua-ketua Komuniti Kebun Bandar Sembulan yang terlibat. Program Kebun Bandar Kota Kinabalu adalah program kerjasama di antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Pertanian Sabah dan Universiti Malaysia Sabah bermula April 2022. Pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu amat mengalu-alukan komuniti yang berminat untuk mengikuti program Kebun Bandar dan boleh menghubungi Jawatankuasa Kebun Bandar Kota Kinabalu untuk keterangan lanjut.