KOTA KINABALU:  Dewan Bandaraya Kota Kinabalu  akan mengadakan Pasar Malam Terbuka sempena Tahun Baharu Cina  di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens, kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu, Segama, Padang Merdeka serta Kedai Foh Sang, Luyang pada 14 Februari 2018, Rabu, mulai pukul 1.00 petang hingga jam 2.00 pagi, hari berikutnya.

Pada tahun ini, lot gerai pasar terbuka adalah bersaiz 8 kaki x 8 kaki  dengan bayaran RM20 untuk satu lot.  Para penjaja diingatkan untuk menyediakan tong sampah di lot gerai masing-masing serta menjaga kebersihan semasa dan selepas berniaga. 

Orang ramai dan penjaja juga diminta untuk tidak membuang sampah di merata-rata tempat kerana anggota penguatkuasa DBKK akan mengeluarkan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Anti Sampah kepada mereka yang berbuat demikian. 

Bagi memberikan laluan kepada acara ini, beberapa jalan raya akan ditutup mulai jam 12.00 tengah hari pada hari tersebut sehingga selesai, iaitu sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens (dari lampu isyarat  Hotel Le Meridien sehingga ke bulatan Hotel Hyatt Regency Kinabalu) dan Jalan Segama serta jalan masuk ke Kedai Foh Sang (di hadapan Jalan Rumah Kedai Golden City dan bulatan berdekatan KFC menuju simpang masuk Foh Sang).

Dalam pada itu, orang ramai juga dimaklumkan bahawa Pasar Besar Kota Kinabalu akan ditutup sempena perayaan Tahun Baharu Cina  selama dua hari iaitu pada 16 dan 17  Februari 2018. Pasar besar akan dibuka semula pada 18 Februari.  Oleh itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil peluang membeli barang-barang keperluan semasa Pasar Malam Terbuka ini.