KOTA KINABALU: Pengguna yang mempunyai Kupon Letak Kereta yang dibeli pada 2014 dan akan tamat tempoh pada 31 Disember 2017 diberi tempoh lanjutan selama enam bulan (sehingga 30 Jun 2018) untuk menggunakan kupon mereka.

Pengarah Eksekutif DBKK Holdings Sdn. Bhd. Poon Chee Kong berkata Bahagian Pengurusan Letak Kereta DBKK Holdings Sdn. Bhd. mendapati bahawa masih ada pengguna yang mempunyai kupon letak kereta yang dibeli pada 2014 dan akan tamat tempoh pada 31  Disember 2017.

Sehubungan dengan itu, beliau memaklumkan kepada pengguna bahawa kupon letak kereta yang akan tamat tempoh pada 31 Disember 2017 akan diberi lanjutan dan masih sah sehingga 30 Jun 2018.

Oleh itu, pengguna dinasihatkan agar menggunakan kupon mereka semasa tempoh lanjutan ini.

Selain itu, untuk menangani kekurangan ruang letak kereta awam di Pusat Bandar Kota Kinabalu, Poon turut menasihatkan pengguna agar menggunakan ruang letak kereta berbilang tingkat di Bangunan KK Sentral (dekat Imago dan Plaza Wawasan) yang memperuntukkan 391 lot letak kereta dan juga di Kompleks KK Plaza (dekat Segama dan Pasar Besar Kota Kinabalu) yang turut memperuntukkan  442 lot letak kereta.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 088-270181/270182 atau datang ke Bahagian Pengurusan Letak Kereta DBKK Holdings Sdn. Bhd. tingkat satu Kompleks Beli Belah KK Plaza.