MEI 2024

Kursus Pembangunan Sistem Pengurusan Keselamatan Pelancongan Kembara (SPKPK) ISO 21101:24 Siri 2

13 MEI 2024: Kursus Pembangunan Sistem Pengurusan Keselamatan Pelancongan Kembara (SPKPK) ISO 21101:24 diteruskan lagi dengan penganjuran Siri 2 yang berlangsung bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, hari ini.

Seramai 35 peserta yang terdiri daripada kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Community Based Tourism (CBT) dan program Inisiatif Pembangunan Pelancongan Berasaskan Komuniti (IMPAK) di bawah bimbingan DBKK telah menyertai kursus ini. Antara komuniti yang terlibat ialah Homestay Desa Cinta Kobuni, Homestay Id Kalangadan, Homestay Id Pogimpaan, Homestay Darau Wetland dan Kampung Kolunsunan, Inanam.

Kursus yang diadakan selama sehari ini merupakan kesinambungan daripada Kursus Pembangunan SPKPK ISO 21101:2014 Siri 1 yang telah diadakan pada 6 Mei 2024 lalu. Penganjuran kursus ini diadakan dalam empat (4) siri yang akan berlangsung sepanjang tahun ini.

Jabatan Landskap Laksana Kerja-Kerja Pemotongan Tanaman Terbiar Di Taman Perumahan, Demi Keselamatan Umum

11 MEI 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi Jabatan Landskap telah bertindak untuk memotong tanaman-tanaman terbiar yang ditanam di luar kawasan rumah dan akhirnya menyebabkan gangguan awam.

 

Tindakan ini diambil ekoran penerimaan aduan daripada orang awam berkenaan tanaman yang telah ditanam di luar kawasan rumah oleh penduduk di sebuah taman perumahan dan kini menimbulkan bahawa kepada pengguna jalan di lorong simpang tiga, jalan ke perumahan tersebut.

 

Kakitangan Unit Kacau Ganggu dan Unit Pengurusan Pokok telah diarah untuk memotong pelbagai jenis bunga yang telah ditanam di luar kawasan rumah. Pemilik turut diberi amaran untuk memastikan tanaman sentiasa diselenggara dari semasa ke semasa.

 

Hiasan landskap diluar rumah yang kemas dan teratur akan memberi keindahan dan nilai estetik kepada pemilik rumah serta orang yang melalui kawasan tersebut. Namun apabila penjagaannya tidak terurus, ia berpotensi untuk mendatangkan bahaya kepada orang lain.

 

Oleh yang demikian, DBKK ingin mengingatkan kepada penduduk-penduduk taman perumahan yang mempunya tanaman di luar kawasan rumah agar ia sentiasa dalam keadaan yang terjaga, rapi dan kemas. DBKK akan mengambil tindakan dan tawaran kompaun, mana yang berkaitan, jika ia melibatkan kesihatan awam.

Program LA21: Penanaman 2,000 Pokok Bakau Di Sepanjang Sungai Darau

11 MEI 2024: Sebanyak 2,000 pokok bakau berjaya ditanam di sepanjang Sungai Darau dalam satu Program Local Agenda 21 (LA21), hari ini.

 

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menganjurkan Program Penanaman 2,000 Pokok Bakau di Sepanjang Sungai Darau yang diadakan di Pusat Pelancongan Darau Wetland Eco-Tourism hari ini (Sabtu) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Koperasi Komuniti Darau Wetland Berhad, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jetama Sdn. Bhd.

 

YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dalam ucapan perasmiannya berkata, program pada hari ini adalah salah satu usaha DBKK dalam menyokong objektif Program LA21 yang merupakan inisiatif terhasil daripada Persidangan Earth Summit 1992, melibatkan 178 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

 

Program ini merupakan satu Pelan Tindakan Dunia bagi Pembangunan Mampan (Global Action Plan for Sustainable Development) ke arah abad ke-21 di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berperanan sebagai Kementerian bertanggungjawab.

 

Katanya, selaras dengan fokus skop KPKT kepada alam sekitar tahun ini, Program Penanaman Pokok seumpama ini diadakan bagi menyokong Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta Pokok di bawah RMK Ke-12, dengan tema “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” yang berbaki lebih kurang 23 juta pokok menjelang 2025.

 

DBKK telah memilih Sungai Darau sebagai kawasan yang sesuai bagi penanaman pokok bakau kerana kawasan tersebut merupakan satu-satunya kawasan paya bakau yang masih ada dalam pusat bandar, dengan jarak berukuran 7 kilometer dari Jeti Gunasama Pelancongan Darau Wetland Eco Tourism ke pusat bandar.

 

Seramai 400 lebih peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan komuniti Darau telah menjayakan program dengan aktiviti penanaman pokok dan semaian biji pokok di sepanjang Sungai Darau, antaranya Universiti Malaysia Sabah (Pengurusan Pelancongan dan Fakulti Tropika Perhutanan), AMC College, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Pusat Pendidikan Islam An-Nur, komuniti Homestay Desa Cinta Kobuni, Homestay Id Kalangadan, Homestay Id Pogimpaan dan Eko Pelancongan Kg. Bongkud.

 

Dalam pada itu, YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu turut menzahirkan harapan agar program ini menjadi titik permulaan untuk melipatgandakan usaha bersepadu ke arah pemulihan hutan bakau di kawasan Kota Kinabalu, “Bandar Raya Peranginan Semulajadi”.

 

Beliau berharap program ini akan membuka ruang kepada lebih banyak penyertaan dan sokongan daripada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta dan komuniti setempat agar lebih peka terhadap kepentingan penglibatan bersama dalam usaha memulihara alam sekitar.

 

Turut hadir Encik Robert B. Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi) DBKK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program; YBhg. Datin Sri Adreen Aderizza Binti Mohd. Sofi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu; Encik Awang Ahmad Zaki bin Abu Bakar, Pengurus Besar, Bahagian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus, Jetama Sdn. Bhd.; Ahli-ahli Lembaga Penasihat DBKK, Encik Mohd. Farish bin Mohd. Fikri, Pengerusi Koperasi Komuniti Darau Berhad, Encik Sudin bin Haji Usof, Penyelaras Homestay Darau Wetland Eco-Tourism, Ketua-ketua Jabatan DBKK dan peserta-peserta program.

 

Syabas dan Tahniah diucapkan khususnya kepada semua ahli Jawatankuasa Pelaksana Program yang dikelola oleh Jabatan Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa (JPePA) DBKK, komuniti Kampung Darau dan semua peserta yang hadir menjayakan program ini!

 

Sumber Foto: Mohd. Asruddey Rusli (DBKK)

 

Isu Sampah Tular Di Pantai Tanjung Aru 1, DBKK Tampil Dengan Fakta Sebenar

Tular satu (1) rakaman video di media sosial baru-baru ini yang menunjukkan kawasan di sekitar Pantai Tanjung Aru 1 dicemari sampah sarap adalah merupakan kawasan milik persendirian, dan bukan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

 

Video yang tular dengan paparan tajuk “DBKK Dapat Anugerah Rasuah?” telah dimuat naik dan dimanipulasi dengan dakwaan yang sama sekali tidak benar berhubung syarikat lantikan DBKK yang diberi tanggungjawab menjalankan kerja- kerja pembersihan pantai di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.

 

Tindakan pembersihan dan menjaga keteraturan kawasan Pantai Tanjung Aru 1 adalah terletak di bawah tanggungjawab DBKK. Manakala Tanjung Aru Eco Development (TAED) Sdn. Bhd. adalah bertanggungjawab untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan keteraturan persekitaran di Pantai Tanjung Aru 2 dan Pantai Tanjung Aru 3.

 

Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan tapak telah mendapati bahawa kawasan yang ditularkan dalam rakaman video tersebut merupakan sebahagian kawasan pantai di bawah seliaan Tanjung Aru Eco Development (TAED) Sdn. Bhd.

 

Sebagai makluman, pihak DBKK telah melantik sebuah syarikat tempatan bagi membantu DBKK dalam mengawal selia tahap kebersihan pantai dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu. Syarikat ini telah memulakan kontrak kerja-kerja pembersihan pantai sejak 01 Ogos 2022. Laporan prestasi penyampaian perkhidmatan syarikat tersebut adalah memuaskan sehingga ke peringkat ini dan syarikat dilaporkan sentiasa mematuhi jadual pembersihan yang ditetapkan DBKK.

 

Skop kawasan penugasan yang diberikan kepada syarikat ini merangkumi kawasan Pantai Tanjung Aru (Bermula daripada bangunan Kinabalu Yacht Club sehingga tembok Shangri-La’s Tanjung Aru Resort and Spa), Pantai Tanjung Lipat, perangkap sampah berhampiran IMAGO Shopping Mall, perangkap sampah Omega, perangkap sampah Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, pantai di muara Sungai Likas, pantai bersebelahan Anjung Senja dan pantai Kampung Kabel, Tanjung Aru.

 

DBKK menyangkal tuduhan tidak berasas pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa bahawa DBKK telah melantik syarikat kroni untuk kerja-kerja pembersihan pantai yang telah menyebabkan ia menjadi tidak terurus. DBKK berharap agar setiap kenyataan yang disiarkan oleh mana-mana individu awam wajar disemak dan dibina berdasarkan semakan fakta yang tepat.

 

Pada masa sama, DBKK turut mengalu-alukan sebarang saranan dan cadangan penambahbaikan ke arah pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu yang bersih dan lestari. Sebarang aduan dan cadangan boleh dikemukakan ke Hotline Aduan DBKK di 088-313991 atau WhatsApp Hotline DBKK di talian 012-2220220.

Tindakan Bersepadu DBKK Dan PKKKK, Tangani Premis Makanan Kotor

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu (PKKKK) telah menjalankan pemeriksaan bersepadu pada 7 Mei 2024 ke atas sebuah premis makanan di Bandaran Berjaya yang tular di media sosial baru-baru ini.

 

Hasil pemeriksaan mendapati aduan berkenaan adalah benar dan terdapat tanda-tanda kehadiran tikus daripada bau dan najis tikus di premis berkenaan. Pihak PKKKK telah menjalankan penggredan untuk menilai tahap kebersihan dan premis makanan tersebut mendapat markah di bawah 70%.

 

Pengusaha juga didapati gagal mematuhi sepenuhnya Notis Arahan Penambahbaikan yang diberikan oleh pihak DBKK dalam pemeriksaan sebelum ini pada 16 April 2024 bagi meningkatkan tahap kebersihan premis.

 

Pihak PKKKK telah memberikan arahan Notis Perintah Tutup Premis Makanan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bermula 7 Mei 2024, jam 11.00 pagi atas sebab premis tidak bersih sehingga boleh menjejaskan kesihatan orang awam.

 

Premis makanan tersebut diarahkan untuk menjalankan pembersihan yang menyeluruh termasuklah melaksanakan kawalan makhluk perosak. Premis berkenaan hanya boleh dibuka setelah melepasi penggredan yang akan dilakukan oleh pegawai pemeriksa dalam pemeriksaan susulan selepas kerja-kerja pembersihan dibuat.

 

Selain itu, pihak DBKK juga telah mengeluarkan satu kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 atas kesalahan semua pengendali makanan gagal memiliki Sijil Kesihatan yang sah.

 

DBKK akan terus melaksanakan tindakan yang tegas dalam memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan yang bersih.

Imago Shopping Mall, Penaja Lokasi Pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Pada 17 & 18 Mei 2024

08 MEI 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) amat berbesar hati untuk mengumumkan IMAGO Shopping Mall sebagai penaja lokasi bagi penganjuran Pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2024.

Majlis Penyerahan ‘Mock Checque’ bernilai RM 200, 000 daripada pihak IMAGO Shopping Mall kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah telah diadakan hari ini, di Pejabat Mayor, Bangunan DBKK pada pukul 2.00 petang.

Pihak IMAGO Shopping Mall yang diwakili oleh Dr. Raymond Yu Tat Loong, Pengarah Eksekutif, Asian Pac Holdings Berhad berkata, pengurusan pusat beli-belah IMAGO amat bersukacita untuk sekali lagi menjadi penaja lokasi yang bakal menyaksikan penampilan khas 15 Finalis dalam Linundus Kaamatan pada 17 Mei 2024 (Jumaat) pukul 1.00 petang dan Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu pada 18 hb Mei 2024 (Sabtu) pukul 1.00 petang.

 

Katanya, kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan di pusat beli-belah itu sudah pasti akan bertambah maknanya dengan penganjuran Linundus Kaamatan dan Pertandingan Akhir Unduk Ngadau, sekaligus mementaskan keunikan dan kepelbagaian etnik negeri Sabah kepada pelancong dalam dan luar negeri.

Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah yang juga selaku Pengerusi Jawatakuasa Pesta Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu turut mengundang orang ramai untuk hadir beramai-ramai bersama keluarga menyaksikan perjalanan kedua-dua acara berprestij ini, yang bakal berlangsung di The Oval, Ground Floor Centre Atrium, IMAGO KK Times Square.

 

Penglibatan IMAGO Shopping Mall sebagai rakan strategik dan penaja lokasi Pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu pada tahun ini merupakan penglibatan kali kedua, setelah penganjuran kali pertama di pusat beli-belah itu diadakan pada tahun 2023.

Turut hadir menyaksikan penyerahan ‘mock checque’ ini adalah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Kewangan) DBKK selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program dan Dr. Benedick Oliver Lidadun, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat (JHEK) DBKK selaku Setiausaha Jawatankuasa Pelaksana Program serta pegawai-pegawai kanan Asian Pac Holdings Berhad iaitu Puan Jing Feifei, Pengurus Besar; Puan Intan Hafiona Al Hafiz, Pengurus Pemasaran dan Encik Ahmad Hisyamuddin bin Ahmad Shafiuddin, Eksekutif Pemasaran.

Temasya Sukan Sabah (SAGA) Ke-10, Atlet Kontinjen Bandaraya Kota Kinabalu Terima Insentif Penghargaan

07 Mei 2024: Temasya Sukan Sabah (SAGA) Ke-10 yang berlangsung pada akhir tahun 2023 lalu telah menyaksikan kejuaraan kekal dipertahankan oleh kontinjen Bandaraya Kota Kinabalu dengan pungutan 87 pingat yang terdiri daripada 32 pingat emas, 25 pingat perak dan 30 pingat gangsa.
 
Insentif bernilai RM25,120.00 tersebut telah disampaikan oleh Encik Robert B. Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK merangkap Chef de Mission bagi kontinjen Bandaraya Kota Kinabalu mewakili Mayor, Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah.
 
Encik Robert B. Lipon berkata, kecemerlangan atlet kontinjen akan diteruskan dan dibawa dalam misi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, Oktober nanti.
 
Beliau turut menzahirkan ucapan Tahniah kepada semua atlet, jurulatih dan pengurus pasukan atas kejayaan cemerlang mengekalkan kejuaraan.
 
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perundangan, Encik Sairullizam Sukor merangkap Ketua Pengurus Pasukan; Encik Mohd. Jaini bin Ag Jad dari Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta Puan Norhafizah Niasin selaku urus setia kontinjen.
 
Tahniah Kontinjen Bandaraya Kota Kinabalu!

38 Tan Sampah Sarap Berjaya Dilupuskan, Program "Kk Cleanup Day 2.0 : Pulau Gaya & Pulau Sepanggar" Mula Beraksi

06 Mei 2024: Sejumlah 38 tan sampah sarap berjaya dilupuskan dalam penganjuran hari pertama Program “KK Cleanup Day 2.0: Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar”, hari ini.

 

Jelas kelihatan usaha dan komitmen tinggi penduduk kampung yang terlibat dalam program yang akan berlangsung selama tiga (3) hari ini; iaitu Kg. Lok Urai, Kg. Kasuapan, Kg. Pulau Gaya Asli, Kg. Lobong dan Kg. Torong Logong di Pulau Gaya serta Kg. Pulau Sepanggar di Pulau Sepanggar.

 

Syabas dan Tahniah diucapkan kepada semua komuniti terlibat! Semoga semangat dan tindakan bersepadu ini berterusan sehingga ke penghujung program.

 

Jom beramai-ramai ikuti perkembangan semasa program di laman TikTok dan Facebook “KK Bersih Dan Hijau”.

Kursus Pembangunan Sistem Pengurusan Keselamatan Pelancongan Kembara (SPKPK) ISO 21101:24

06 Mei 2024: Penganjuran Kursus Pembangunan Sistem Pengurusan Keselamatan Pelancongan Kembara (SPKPK) ISO 21101:24 telah menyaksikan penyertaan daripada 35 peserta yang terdiri daripada kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Community Based Tourism (CBT) dan program Inisiatif Pembangunan Pelancongan Berasaskan Komuniti (IMPAK) di bawah bimbingan DBKK.

 

Penganjuran kursus ini adalah bagi pensijilan ISO 21101:2015 Adventure Tourism. Antara komuniti yang terlibat ialah Homestay Desa Cinta Kobuni, Homestay Id Kalangadan, Homestay Id Pogimpaan, Homestay Darau Wetland dan Kampung Kolunsunan, Inanam.

 

Kursus yang berlangsung selama satu (1) hari ini merupakan penganjuran yang pertama bagi sesi tahun 2024, daripada empat (4) siri kursus yang akan diadakan sepanjang tahun ini.

Pemeriksaan Pokok Warisan ('Heritage Tree') Bandaraya Kota Kinabalu

06 Mei 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang giat menjalankan pemeriksaan kesihatan pokok-pokok bernilai warisan di sekitar pusat bandar raya Kota Kinabalu.

 

Sejumlah empat (4) Pokok Ujan-ujan atau Raintree (Nama Botani: Samanea Saman) telah diperiksa hari ini, di kawasan lapang berhampiran bangunan Wisma MUIS, Jalan Tunku Abdul Rahman. Pokok Ujan-ujan di kawasan lapang Wisma MUIS tersebut dianggarkan berumur lebih 100 tahun dan merupakan antara pokok bernilai warisan yang paling dominan di Bandaraya Kota Kinabalu.

 

Pemilihan pokok bernilai warisan ini dijalankan oleh Arboris Terlatih (ISA Certified Arborist) melalui Projek Pemuliharaan Pokok Matang Bernilai Warisan biayaan Jabatan Landskap Negara, KPKT pada 2009. Untuk rekod, sebanyak 250 pokok sekitar Kota Kinabalu telah disenaraikan sebagai pokok bernilai warisan.

 

Kerja-kerja pemuliharaan pokok bernilai warisan akan diteruskan oleh DBKK agar pokok bernilai ini terpelihara dan terjaga.

 

Terima kasih diucapkan kepada Unit Penyelidikan dan Pemuliharaan, Jabatan Landskap, DBKK yang diketuai oleh Puan Cornelia Nasly dan Arboris DBKK, Encik Affindy Chia.

Pembersihan Parit Di Kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu

Kelihatan pekerja-pekerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja pembersihan parit di kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu. Kerja-kerja pembersihan parit ini dilaksanakan dari semasa ke semasa, bagi memastikan keadaan parit sentiasa berada dalam keadaan bersih, tidak berbau, tidak tersumbat dan tidak dipenuhi dengan sampah sarap.
 
Kekotoran parit di kawasan Kota Kinabalu mampu diminimakan sekiranya sampah tidak dibuang ke dalam parit. Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan untuk mengambil tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan sekitar bandar raya dan membuang sampah di tempat yang betul.
 
Tindakan tegas dan kompaun akan dikenakan ke atas individu-individu yang didapati membuang sampah di merata-rata tempat atau mereka yang ingkar peraturan yang telah ditetapkan.

TYT, Toh Puan Serikan Sambutan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DBKK

Kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr.) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni menambah lagi seri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) 1445H/2024M, yang berlangsung kelmarin, 4 Mei 2024.
 
Majlis yang diadakan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran YB Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M. Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah mewakili YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dan YBhg. Datin Seri Panglima Hajah Norani binti Haji Salleh, barisan Kabinet Negeri serta warga kerja DBKK.
 
Pentas hiburan Aidilfitri DBKK turut dimeriahkan dengan penampilan artis-artis undangan/bakat-bakat DBKK seperti Rosario, Asmat Mahali, ChaCha Dan Music, Jacinta Chia, Amin Wali, Iza Azura, Syifa, Brandon, Rasidah Sharin, kumpulan kugiran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan kumpulan-kumpulan penari daripada Tagaps Dance Theatre, Ala Panggong dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sabah.
 
Turut diadakan Penyerahan Sumbangan Duit Raya kepada 20 anak-anak asnaf dari Rumah Anak Kesayangan Sabah.
 
Syabas dan Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat.
 
Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin daripada seluruh warga kerja DBKK.
 

Laluan Masuk Jejantas KK Skybridge Ke Pusat Beli-Belah Centre Point Sabah, Kini Dibuka

04 Mei 2024: Laluan masuk jejantas KK Skybridge ke Pusat Beli-Belah Centre Point Sabah dibuka kelmarin, 03 Mei 2024.
 
Pembinaan ‘link bridge’ atau jejantas penghubung ke bangunan Centre Point Sabah tersebut dibina oleh Centre Point Management Corporation bermula pada Jun 2022.
 
Perakuan penyiapan dan permohonan Sijil Menduduki (OC) hanya diterima daripads Konsultan Projek tersebut pada 02 Mei 2024 dan DBKK telah mengeluarkan Sijil Menduduki (OC) pada 03 Mei 2024.
 
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah berharap, dengan pembukaan jejantas menghubungi bangunan Centre Point Sabah itu akan memberi kemudahan yang lebih selesa dan selamat kepada pengunjung yang ingin ke pusat-pusat komersil sekitarnya seperti Asia City, Api-api Centre, Warisan Square dan Oceanus Mall; tanpa perlu melintas jalan raya.

 

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Penasihat DBKK

3 Mei 2024: Seramai 14 Ahli Lembaga Penasihat (ALP) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu menerima Watikah Pelantikan yang disampaikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah hari ini.
 
Majlis yang berlangsung di Dewan Mesyuarat, Tingkat 1, Bangunan DBKK, itu didahului dengan Acara Menandatangani Perakuan Bersumpah yang disaksikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Ia ditandatangani secara serentak oleh kesemua ALP DBKK yang baharu, kecuali YBhg. Datuk Clement Yeh, yang masih dalam lantikan ALP DBKK sehingga tahun 2025.
 
Antara penerima-penerima Watikah Pelantikan baharu ialah YBhg. Datuk Dr. Hjh. Sharifah Habsah binti Habib Alawi, YBhg. Datuk Yong Chiew Lip @ Philip Yong, Dr. Siti Fatmah binti Suahid, YBhg. Datuk Lo Vun Che @ Jessica, YBhg. Datuk Hj. Alsat bin Edris @ Arsad Arshad Idris, Encik Ar.James Wong Kein Peng, Encik Li Su Fook, Encik Mohd Zahari bin Mohd Zinin, Encik Lim Vun Chan, Encik Helmi Shahril bin Ag Kassim, Sr. Orson Lo Ming Liong, Ar. Tan Young, Puan Judy Hiew Mui Nyuk dan Ar. Tressie Yap Chui Kie. Tempoh lantikan Ahli-ahli Lembaga Penasihat baharu ini berkuat kuasa bermula 1 Februari 2024 sehingga 31 Januari 2027.
 
Seusai majlis, YAB Ketua Menteri turut mendengar Taklimat Khas yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri Mayor yang mengupas kerangka konseptual DBKK ke atas Pentadbiran, Pengurusan dan Perancangan Pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu dalam tempoh lima (5) tahun.
 
Tahniah diucapkan kepada barisan Ahli Lembaga Penasihat DBKK yang dilantik. Semoga pandangan mereka dapat membawa Bandaraya Kota Kinabalu ke arah yang cemerlang dan berprestasi tinggi.