Skip to main content

Acara: RAIKAN ISTIADAT PERBARISAN SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KELAHIRAN RASMI YANG KE-74 TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH

Padang Merdeka, Kota Kinabalu

Orang ramai adalah dipelawa untuk hadir dan memeriahkan Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah yang akan berlangsung di Padang Merdeka Kota Kinabalu, bermula 7 pagi, pada 21 Jun 2025 (Sabtu) bersamaan 24 Zulhijjah 1446H.

Majlis yang disambut dengan penuh istiadat ini akan diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin.

Antara intisari yang menanti pengunjung adalah Pertandingan Berjalan Lalu yang disertai sekitar 80 kontinjen perbarisan daripada lapan kategori, termasuk Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi, Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi, Swasta/Badan Berkanun, Persatuan Etnik Sabah, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah.

Lebih menarik lagi, sebanyak 17 das tembakan meriam akan dilepaskan bersempena dengan sambutan ini.

Warna-warni persembahan khas daripada kumpulan tari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) juga bakal memikat hati semua pengunjung yang hadir bagi meraikan sambutan penuh makna ini.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas sekiranya terdengar bunyi tembakan meriam, yang merupakan salah satu pengisian dalam majlis ini.

Ayuh warga Sabah, sama-sama kita meriahkan lagi Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah yang akan berlangsung di Padang Merdeka Kota Kinabalu, Sabtu ini!

#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestari

Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK