Acara: Majlis Peluncuran Harum Kinabalu

PUSPANITA Cawangan Sabah, PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menganjurkan Majlis Peluncuran Kempen Harum Kinabalu yang akan diadakan pada Jumaat ini, 07 Jun 2024, di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu bermula pukul 8.00 pagi hingga 10.30 pagi.
Majlis akan diluncurkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Negeri Sabah.
Kempen ini akan berlangsung selama satu (1) bulan, bermula 07 Jun 2024 sehingga 06 Julai 2024, bertujuan untuk menanam sikap pembersih dalam kalangan masyarakat dan kumpulan penjaja, ke arah mengutamakan kebersihan pasar dan persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu. Pasar Kraftangan Kota Kinabalu telah dipilih sebagai lokasi perintis dalam kempen ini, susulan kedudukannya sebagai lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri.
Antara aktiviti menarik yang akan diadakan sempena majlis peluncuran ini adalah jualan ‘souvenir’ atau barangan Harum Kinabalu di gerai PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu seperti beg ‘jute’, payung, kemeja-t, cawan, beg kitar semula, termos, tong sampah dan bunga pasu.
Orang ramai turut dijemput untuk mengunjungi gerai-gerai jualan yang diadakan sempena majlis peluncuran ini seperti gerai PUSPANITA Cawangan Sabah, Fatt Choi Sdn. Bhd. (Produk kopi), Sabah Green Sanctuary (Sayur hidroponik), Botanicals Sabah Sdn. Bhd., FAMA Negeri (Buah tempatan), House of Decourage Art & Crafts (Kraf bunga hiasan), Sabaras Sdn. Bhd. (Beras Sabah) dan NESTLE Products Sdn. Bhd.
Selain gerai jualan, orang ramai turut berpeluang mengunjungi pameran kebersihan dan kesihatan yang akan diadakan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dan Jabatan Alam Sekitar, Pameran 3K serta pameran lukisan, poster pertandingan mewarna, puisi dan karangan yang telah diadakan sempena Kempen Harum Kinabalu.



