Skip to main content

Berita: MAJLIS PELANCARAN CITRA BUDAYA KOTA KINABALU “KK CULTURE ON STAGE 2026”, PERKUKUH PROMOSI WARISAN SENI DAN BUDAYA TEMPATAN

  • -

    6 JULAI 2026: Dalam usaha memperkukuh promosi warisan seni dan budaya Sabah kepada masyarakat dan pelancong bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat memperkenalkan Citra Budaya Kota Kinabalu “KK Culture On Stage 2026”.

    Dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), program ini mengetengahkan persembahan budaya, seni kreatif, demonstrasi makanan tradisional, pameran komunititi serta pertandingan seni budaya, dengan penglibatan agensi pelancongan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar institusi pengajian tinggi.

    Majlis pelancaran yang berlangsung pada 4 Julai 2026 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu mewakili Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Bertanggunjawab Kepada DBKK.

    Dalam teks ucapan perasmiannya, Datuk Joniston berkata, program seperti ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pelancong, malah membuka peluang kepada penggiat seni tempatan untuk terus berkarya, menyediakan platform kepada artisan dan usahawan komuniti memasarkan produk mereka serta mewujudkan limpahan ekonomi yang memberi manfaat kepada lebih ramai pihak.

    Tambahnya, beliau percaya bahawa inisiatif ini berpotensi menjadi salah satu acara kebudayaan ikonik bandar raya. Dengan penganjuran yang konsisten, program ini mampu memperkukuhkan imej Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang hidup, berbudaya dan mesra pelawat.

    Penganjuran Program Citra Budaya Kota Kinabalu 2026 akan diteruskan secara bulanan, bermula Julai hingga Disember 2026, bertempat di Lintasan Deasoka dengan menampilkan tema serta pengisian budaya yang berbeza setiap bulan.

    Turut hadir dalam majlis ini, YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; Puan Rimi Repin, Timbalan Setiausaha Tetap I, KePKAS mewakili Setiausaha Tetap, KePKAS; YBhg. Datin Dr. Cleopatra @ Clare Asing, Timbalan Setiausaha Tetap II, KePKAS dan Encik Chong Wai Kit, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Sabah.

    Sejurus selepas majlis, Dato’ Sri Mayor telah menyertai YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II ke sesi walkabout sekitar Api-Api Night Food Market bagi menyantuni para penjaja dan pengunjung yang hadir.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez dan Mohd Asruddey Rusli

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK