Skip to main content

Berita: Pelancaran Piawaian Kebersihan Dan Keteraturan Sektor Operasi, DBKK Komited Mantapkan Penyampaian Perkhidmatan

  • Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melancarkan Piawaian Kebersihan dan Keteraturan Sektor Operasi DBKK yang diadakan sempena Majlis Penutupan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2024 di DBKK, hari ini.

    Manual piawaian ini bertindak sebagai garis panduan organisasi dalam memberikan perkhidmatan pengurusan pengutipan sisa pepejal, kebersihan dan kesihatan yang berkualiti, menyelesaikan masalah sedia ada serta membentuk satu pendorong kepada pertumbuhan dan perkembangan perkhidmatan agar sentiasa efisien, maju dan cemerlang.

    YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dalam ucapannya berkata, “Piawaian ini merupakan satu dokumen rujukan utama yang menetapkan standard kualiti yang perlu dicapai oleh anggota dalam melaksanakan perkhidmatan di sesuatu kawasan”.

    Katanya, “Antara perkhidmatan yang terlibat adalah pembersihan awam, pengutipan sampah, pemotongan rumput dan kawalan rumpai, pembersihan tandas dan pasar serta penguatkuasaan undang-undang kecil DBKK. Semua perkhidmatan tersebut merangkumi skop utama bidang tugas Sektor Operasi DBKK”.

    Mengetuai Sektor Operasi DBKK adalah Encik Robert B. Lipon, turut meletakkan sasaran agar jabatan-jabatan di bawah sektor itu, iaitu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Landskap, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Pelesenan dapat menjalankan fungsi dan perkhidmatan kepada masyarakat pada tahap yang berkualiti tinggi.

    Dato’ Sri Mayor yang hadir merasmikan majlis itu turut menyempurnakan sesi penyampaian hadiah bagi Pertandingan Tandas Bersih Premis Makanan, yang mempertandingkan tiga (3) kategori iaitu Restoran, Kedai Kopi dan Coffee House. Sejumlah 30 premis makanan di seluruh Bandaraya Kota Kinabalu telah disenarai pendek bagi penilaian kebersihan tandas. Pemenang-pemenang pertandingan adalah seperti berikut:

    Kategori Restoran

    Juara: Restoran BTC (Cawangan Inanam)
    Naib Juara: BTC Bistro
    Ketiga: Gariana’s Vui Ve Modern Vietnamese

    Kategori Coffee House

    Juara: Lucky Bean Kingfisher
    Naib Juara: Oktober Bakery & Cafe 3
    Ketiga: Guilt Free Society

    Kategori Kedai Kopi

    Juara: Kedai Kopi Kinabalu

    Turut hadir adalah Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan) DBKK; Ahli-ahli Lembaga Penasihat DBKK; Puan Marie Yee, Presiden Inner Wheel Club of Kota Kinabalu dan YBhg. Datuk Nancy Ho selaku mantan Ahli Lembaga Pengarah International Inner Wheel.

    Tahniah diucapkan kepada Sektor Operasi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan kepada semua pihak yang telah menjayakan Majlis Penutupan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2024!

    Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melancarkan buku Piawaian Kebersihan dan Keteraturan Sektor Operasi DBKK yang merupakan dokumen rujukan utama penetapan standard kualiti yang perlu dicapai oleh anggota-anggota Sektor Operasi DBKK dalam melaksanakan perkhidmatan di sesuatu kawasan.

    Antara perkhidmatan yang terlibat adalah pembersihan awam, pengutipan sampah, pemotongan rumput dan kawalan rumpai, pembersihan tandas dan pasar serta penguatkuasaan Undang-undang Kecil (UUK) DBKK.

    Warga Bandaraya Kota Kinabalu juga boleh memuat turun Buku Piawaian Kebersihan dan Keteraturan Sektor Operasi DBKK ini, dengan mengimbas kod QR yang disertakan.