Skip to main content

Berita: Upacara Memperingati Double Six

  • Telah berlangsung Upacara Memperingati Double Six yang diadakan di Tugu Peringatan Double Six, Sembulan, Kota Kinabalu pada 06 Jun 2024 (Khamis) yang turut menandakan genap 48 tahun sejak tragedi itu berlaku, iaitu pada 06 Jun 1976.

    Memulakan acara, seluruh hadirin bertakafur selama seminit untuk mengenang mangsa-mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut.

    Acara kemudian diteruskan dengan upacara meletakkan karangan bunga yang didahului oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang mewakili YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah diikuti oleh wakil keluarga Allahyarham Tun Datuk Haji Mohd. Fuad Stephens; wakil keluarga Allahyarham Datuk Salleh Sulong; wakil keluarga mendiang Datuk Peter Mojuntin; wakil keluarga mendiang Datuk Chong Thain Vun dan wakil keluarga mendiang Datuk Darius Binion.

    Turut hadir memberi penghormatan adalah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; Asisten Komisioner Polis (ACP) Cyril Edward Nuing, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) mewakili Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sabah dan Encik Adrian De Rozario, Pengurus Besar The Magellan Sutera Resort mewakili Ketua Pegawai Eksekutif GSH Corporation Limited.

    Acara kemudian diteruskan dengan sesi lawatan ke Galeri Double Six dan tayangan dokumentari sejarah tragedi Double Six.