Skip to main content

Berita: Pembinaan Tandas Awam Baharu Di Inanam Point, Bukti Keperluan Warga Bandar Raya Terus Diberi Keutamaan

  • Inanam Point

    (Sumber Info dan Foto: Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, DBKK)

     

    Usaha dalam meningkatkan tahap kemudahan asas di Bandaraya Kota Kinabalu terus dipertingkat dengan terbinanya sebuah lagi tandas awam baharu di Inanam Point, baru-baru ini.

    Projek pembinaan tandas awam yang dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan DUN N.18 Inanam itu, telah siap dibina pada 28 September 2024 lalu dan telah mula beroperasi untuk kegunaan masyarakat awam pada 2 Oktober 2024.

    Menyedari ketiadaan tandas awam di kawasan berkenaan, pembinaan tandas awam ini merupakan tindakan proaktif dan cetusan inisiatif YB Datuk Peto Galim, Pembantu Menteri (II), Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap ADUN N.18 Inanam, sekali gus membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah dalam menyediakan fasiliti awam dan memenuhi keperluan masyarakat setempat, khususnya para peniaga dan pengunjung di Inanam Point.

    Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan warga kota mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Datuk Peto Galim atas keprihatinan dan komitmen berterusan dalam menyediakan prasarana awam demi kesejahteraan rakyat.

    Pada masa sama, DBKK juga sedang melaksanakan usaha peningkatan tahap kebersihan dan kualiti tandas awam kepada status “Bersih, Menawan dan Wangi” (BMW) dengan menaik taraf tandas-tandas awam di sekitar Kota Kinabalu. Tindakan ini akan dilaksanakan secara berfasa.

    Seiring matlamat ini, orang awam adalah diseru untuk bersama-sama membudayakan amalan penjagaan kebersihan tandas awam yang berkualiti dan menggunakan tandas awam dengan penuh tanggungjawab.