Skip to main content

Berita: Aplikasi ‘Sabah Smart Parking’ Dilancarkan Hari Ini, Seiring Usaha Ke Arah Transformasi Pendigitalan


  • Liputan: Eleanor Michelle Patrick | Foto: Renaldo Fernandez

    16 OKTOBER 2024: Seiring usaha ke arah pembudayaan dan pembangunan pendigitalan dalam perkhidmatan tempat letak kereta di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, DBKK Holdings Sdn. Bhd. telah melancarkan aplikasi ‘Sabah Smart Parking’ yang berkuat kuasa di seluruh bandar raya mulai hari ini.

    Hadir menyempurnakan majlis perasmian adalah YB Datuk Abidin Madingkir, JP, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Yang Bertanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Beliau diiringi oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; Encik Karim Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar & Penguatkuasaa); Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Kewangan), Tuan Jimon Jahim, Pengarah Eksekutif, DBKK Holdings Sdn. Bhd. dan Encik Sairullizam Haji Sukor, Pengarah Jabatan Perundangan, DBKK.

    Dalam ucapannya, YB Datuk Abidin berkata, transformasi daripada penggunaan Sistem Letak Kereta Berkupon kepada Sistem Letak Kereta Digital merupakan satu pencapaian signifikan yang secara tidak langsung menyahut seruan atau aspirasi kerajaan Negeri yang menuju ke arah pembudayaan dan pembangunan pendigitalan di setiap perkhidmatan.

    Tambah beliau, DBKK akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di bandar raya ini. Selain daripada penambahbaikan mutu perkhidmatan dalam pengurusan tempat letak kereta, penambahbaikan bagi kemudahan-kemudahan infrastruktur yang lain juga turut diberi perhatian.

    Turut hadir menzahirkan sokongan sempena majlis pelancaran ini ialah Puan Faradillah Hj. Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan); Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM); Ketua-ketua Jabatan DBKK serta Ketua-ketua Bahagian DBKK Holdings Sdn. Bhd.

    Bermula 16 hingga 31 Oktober 2024, DBKK menganjurkan program pengampunan yang dikenali sebagai “Jom Bayar Kompaun” yang menawarkan pengurangan bayaran kadar kompaun DBKK, di mana pengguna hanya perlu membayar kadar asal kompaun. Tawaran ini adalah terhad kepada pengguna-pengguna yang telah memuat turun aplikasi ‘Sabah Smart Parking’.

    Seperti yang umum sedia maklum, aplikasi ini bakal menggantikan Sistem Tempat Letak Kereta Berkupon sepenuhnya dalam masa terdekat ini. Walau bagaimanapun, pengguna yang masih mempunyai baki kupon fizikal (kupon gores) masih boleh menggunakan kupon itu sehingga habis.

    Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Pelancaran Aplikasi ‘Sabah Smart Parking’!