Berita: Kerjasama Antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC)

Liputan: Bella Berhaman | Jurugambar: Niza Pamparan
18 OKTOBER 2024: satu perbincangan telah diadakan di antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC). Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, bersama Pengarah Bahagian Operasi, Nordin bin Ibrahim.
Tujuan utama pertemuan ini adalah untuk memperkukuhkan kerjasama dalam usaha menangani jenayah kewangan di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya. Satu perkara utama yang diketengahkan dalam perbincangan adalah pelaksanaan program pencegahan jenayah kewangan dan kempen kesedaran mengenai penipuan dalam talian (online scam) yang semakin membimbangkan masyarakat.
Antara langkah yang akan diambil adalah mempergiatkan pelbagai program kesedaran dalam kalangan komuniti bagi membantu masyarakat mengenal pasti dan mengelak dari terjebak dengan penipuan kewangan, terutamanya yang berlaku dalam talian. NFCC dan DBKK komited untuk mengukuhkan kerjasama ini dengan fokus kepada aspek pendidikan, pemantauan, serta penguatkuasaan di peringkat akar umbi.
Ini juga termasuk usaha bersama dalam menyediakan platform aduan dan tindakan segera untuk memastikan individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah kewangan dapat dikenakan tindakan dengan cepat dan efektif.
Kunjungan ini adalah langkah pertama dalam memperkukuhkan hubungan antara DBKK dan NFCC, di mana kedua-dua pihak menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama lebih rapat demi mewujudkan persekitaran kewangan yang selamat untuk semua lapisan masyarakat.



