Berita: SIDANG MEDIA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-25 JUBILI PERAK BANDARAYA KOTA KINABALU
26 JANUARI 2025: Lebih 60 pengamal media daripada agensi-agensi media tempatan dan nasional telah menghadiri majlis Kupi-Kupi Mayor Bersama Media: Sidang Media Sambutan Ulang Tahun ke-25 Jubili Perak Bandaraya Kota Kinabalu, yang diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 24 Januari 2025.
Tirai majlis dibuka dengan tayangan Montaj Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubili Perak Bandaraya Kota Kinabalu yang memaparkan sebanyak 28 acara-acara menarik yang bakal berlangsung sepanjang tahun ini.
Ketika berucap, YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan media, yang selama ini menjadi platform penyampaian maklumat sahih dan terkini, selain menjadi suara masyarakat dalam memperkukuh hubungan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Dato' Sri Mayor sempat meluangkan masa untuk berinteraksi bersama Datuk Muguntan Vanar, Presiden Sabah Journalist Association (SJA); Encik Jimmy Goh, Presiden Kota Kinabalu Journalist Association (KKJA) dan Puan Jainisah binti Mohd Noor, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah.
Selain itu, turut hadir rakan-rakan media daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Astro Awani, Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times (NSTP), The Star, The Malay Mail, The Vibes, Daily Express, The Borneo Post, Sin Chew Daily, See Hua Daily News, Asia Times, Astro Awani, Sabah Media, Sabah News, Sabah.FM dan Kupi-Kupi FM.
Bersempena majlis ini, Dato' Sri Mayor turut menyempurnakan sesi penyampaian simbolik sinergi kepada beberapa rakan strategik DBKK yang terlibat dalam menjayakan acara-acara Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubili Perak Bandaraya Kota Kinabalu. Antaranya ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Persatuan Tenpin Boling Negeri Sabah, Adabi Sabah, Asian Pac Property Management Sdn. Bhd., PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, KK Galaxy Bowl, Mohawk Gym, Kudat Chess Association dan Darau Wetland.
Sepanjang majlis berlangsung, reruai-reruai yang mempromosikan acara-acara yang bakal berlangsung turut disediakan, antaranya ialah 25th Silver Jubilee City Ride 2025, Festival Sastera dan Puisi Esei Antarabangsa Ke-4, KK City Strong Man, Pertandingan Catur 2025, Pameran Kenderaan Volkswagen Klasik, KK Cleanup Day 1.0, Litter Free Mount Kinabalu Expedition dan Upcycle@Recology.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; Ahli-ahli Lembaga Penasihat DBKK; Timbalan-timbalan Ketua Pengarah dan Ketua-ketua Jabatan DBKK.
Semoga kerjasama erat di antara DBKK bersama rakan-rakan media akan terus diperhebat di masa akan datang, seiring usaha mentransformasikan Bandaraya Kota Kinabalu menjadi bandar raya pintar dan lestari!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez | Bazlie Amir | Mohd. Asruddey Rusli#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



