Berita: TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH DAN YANG AMAT BERBAHAGIA TOH PUAN, SERIKAN MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-25 JUBLI PERAK BANDARAYA KOTA KINABALU
02 FEBRUARI 2025: Lebih 2,000 warga kerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu telah hadir di pekarangan Bangunan DBKK pada 02 Februari 2025, dan mengukir momen indah dengan kemeriahan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu.
Majlis penuh gemilang ini telah diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tusin, yang buat julung kalinya telah hadir dan bersama-sama meraikan sambutan penuh makna ini.
Ketibaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan telah disambut dengan penuh rasa sukacita oleh seluruh warga kerja DBKK diketuai oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu sambil diiringi dendangan irama musik tradisional yang memenuhi suasana meriah pekarangan Bangunan DBKK.
Majlis telah dimulakan dengan lagu Negaraku dan lagu Sabah Tanah Airku diiringi oleh kumpulan pancaragam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di bawah pimpinan Inspektor Wilbonoh Zain, sebelum diteruskan dengan persembahan hiburan dan nyanyian oleh bakat-bakat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu serta tempatan antaranya kumpulan kugiran D’Corporate, Arts Collection, kumpulan penari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sabah, Kumpulan Kesenian DBKK, Donna Masidah, Ikmal dan Nur Syifa.
Pengisian acara terus menambat hati para tetamu undangan dengan persembahan deklamasi puisi oleh saudara Hasmin Azroy Abdullah yang diundang khas dari Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), diikuti dengan upacara memotong kek yang disempurnakan oleh Tuan Yang Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan.
Nilai kesyukuran menyambut Ulang Tahun Ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu ini turut dizahirkan bersama-sama Rumah Anak Yatim Al-Aman Beaufort, Rumah Anak Yatim Kariah Tanjung Aru dan Rumah Anak Yatim Kariah Karambunai yang turut menerima sumbangan ikhlas bersempena majlis bermakna ini.
Seusai majlis rasmi, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan turut menzahirkan perkenan untuk menyempurnakan acara penyiraman anak pokok Palawan (Tristaniopsis Whiteana) dan anak pokok Melati (Gardenia Tubifera). Kedua-dua anak pokok ini adalah simbolik kepada kembara usaha lestari bandar raya dan bakal ditempatkan di Taman Botani Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu.
Seluruh warga kerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu turut berbesar hati dengan kehadiran Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri/Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah; Yang Berhormat Menteri-menteri; Yang Berhormat Datuk Abidin Madingkir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Yang Berhormat Pembantu-pembantu Menteri dan Konsul-konsul Negara Asing.
Anggota-anggota DBKK turut tidak melepaskan peluang untuk menyertai cabutan bertuah dan memenangi hadiah-hadiah menarik antaranya motorsikal SM Sport 110cc, motorsikal Modenas Kriss 110cc, basikal, barangan elektronik dan banyak lagi sambil berhibur dengan persembahan kumpulan buskers Cha Cha Dam Muzik.
Syabas dan Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu pada 02 Februari 2025. Semoga setiap kejayaan yang digapai mampu mencurahkan manfaat yang tinggi kepada warga bandar raya!
Selamat Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu!
Liputan: Sarah Zaki.
Sumber Foto: Asruddey Rusli | Renaldo Fernandez.#SambutanUTB25JubliPerak
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA DBKK



