Skip to main content

Berita: MAJLIS KETANDAAN PANGKAT DAN MAKAN MALAM JABATAN PENGUATKUASAAN, RAIKAN JASA DAN BAKTI ANGGOTA PENGUATKUASA

  • 18 FEBRUARI 2025: Majlis Ketandaan Pangkat dan Makan Malam Jabatan Penguatkuasaan Bersama YBhg. Pesuruhjaya Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah berlangsung dengan penuh gemilang, di Hotel Raia Tabung Haji, pada 14 Februari 2025.

    Majlis yang diadakan buat julung kalinya ini bertujuan untuk memberikan ketandaan kepada pegawai-pegawai yang telah dicadangkan untuk dinaikkan pangkat selain meraikan anggota penguatkuasa yang telah berkhidmat selama lebih daripada 30 tahun serta anggota yang telah bersara.

    Dalam ucapannya, Dato’ Sri Mayor menegaskan bahawa Jabatan Penguatkuasaan memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan Undang-undang Kecil DBKK sentiasa dikuatkuasakan dengan cekap dan berkesan. Jelasnya, jabatan ini merupakan barisan hadapan yang memastikan Bandaraya Kota Kinabalu berada dalam keadaan selamat, selesa dan indah untuk didiami.

    Dalam majlis ini, Dato’ Sri Mayor telah menyempurnakan sesi ketandaan yang diberikan kepada Timbalan Pesuruhjaya Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK, Timbalan Pesuruhjaya Kanan Karim bin Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan) serta enam (6) pegawai penguatkuasa.

    Beliau turut memberi penganugerahan Pingat Kecemerlangan Mayor kepada Penolong Pesuruhjaya Mohd. Haniff bin Haji Abdullah, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan serta dua (2) pegawai penguatkuasa.

    Majlis kemudian diteruskan dengan pemberian penghargaan Anugerah Khas Bakti Setia kepada anggota-anggota penguatkuasa yang telah berkhidmat selama lebih 30 tahun serta pesara-pesara Jabatan Penguatkuasaan yang selama ini telah memberikan seluruh tenaga mereka dalam membantu DBKK menguatkuasakan undang-undang yang diguna pakai di seluruh Bandaraya Kota Kinabalu.

    Hadir sama dalam majlis ini ialah YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi serta Ketua-ketua Jabatan DBKK.

    Dalam pada itu, Dato’ Sri Mayor sempat meluangkan masa untuk menyempurnakan upacara memotong kek, sebagai simbolik sambutan Ulang Tahun Kali Ke-41 Penguatkuasa.

    Tahniah Jabatan Penguatkuasaan, DBKK! Semoga terus menggapai kejayaan, seiring usaha menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang selamat, teratur dan indah.

    Sumber Info: Jabatan Penguatkuasaan, DBKK
    Foto: Mohd. Asruddey Rusli

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK