Berita: KERJASAMA DBKK, UNICEF JADIKAN KOTA KINABALU BANDAR RAYA PERTAMA DI SABAH LAKSANA INISIATIF BANDAR MESRA KANAK-KANAK
08 MEI 2025: Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Kota Kinabalu menjadi bandar perintis di negeri Sabah dalam melaksanakan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI).
Majlis Menandatangani MoU Pelaksanaan Antara Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dengan UNICEF telah berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), pada 06 Mei 2025 dan merupakan langkah signifikan ke arah menggalakkan kerjasama lebih erat dalam perancangan, pembangunan dan pelaksanaan pelbagai program mesra kanak-kanak.
Tirai majlis dibuka dengan tarian sambut tamu yang bertajuk “Angkikiat”, yang dipersembahkan khas oleh TIRUH Dance Troupe, daripada pelajar SK Sri Gaya, Kota Kinabalu.
Sesi menandatangani MoU telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK, serta Encik Robert Gass, Wakil UNICEF Ke Malaysia Merangkap Wakil Khas Ke Brunei Darussalam dan Dr. Juanita Vasquez Escallon, Ketua Dasar Sosial UNICEF Malaysia.
Majlis penuh makna ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Abidin Madingkir, JP, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Merangkap Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada DBKK. Dalam ucapannya, YB Datuk Abidin berkata, inisiatif ini mencerminkan matlamat agar pembangunan tidak diukur melalui metrik ekonomi atau pertumbuhan infrastruktur, tetapi melalui maruah kehidupan kanak-kanak, peluang yang tersedia serta perlindungan yang diberikan kepada mereka.
Seusai sesi menandatangani MoU, majlis diteruskan dengan tayangan montaj yang menampilkan skop kerjasama dan inisiatif yang dibawakan menerusi Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak. Sebelum tirai majlis dilabuhkan, para hadirin telah dipersembahkan dengan Choral Speaking daripada pelajar SMK St. Francis Convent, yang membawakan tema “Together For A Low Carbon Future”.
Hadir sama menyatakan sokongan penuh terhadap majlis ini ialah Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), DBKK; Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK; Encik Karim Hj. Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), DBKK serta Ketua-ketua Jabatan, DBKK.
Usaha sama yang terjalin di antara DBKK dan UNICEF menjadi simbolik kepada aspirasi bersama dalam mengutamakan hak, perlindungan dan pembangunan holistik kanak-kanak serta permulaan era baharu tadbir urus bandar raya berteraskan kanak-kanak.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



