Berita: SESI LIBAT URUS BERHUBUNG MAJLIS SAMBUTAN HARI KESELAMATAN MAKANAN SEDUNIA PERINGKAT BANDARAYA KOTA KINABALU TAHUN 2025
07 JUN 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan Sesi Libat Urus Berhubung Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2025 pada 06 Jun 2025 bertempat di Dewan Mesyuarat, Tingkat 1, Ibu Pejabat DBKK.
Sesi yang dipengerusikan oleh Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK ini telah melibatkan seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada pemilik dan pengusaha premis makanan di Centre Point Sabah.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai daripada Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu (PKKKK), serta wakil daripada jabatan-jabatan dalaman DBKK iaitu Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan, termasuk pihak pengurusan Centre Point Sabah, Sunyap Development Sdn. Bhd.
Sesi ini bertujuan untuk memberi makluman kepada para pengusaha premis makanan berhubung pelaksanaan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2025 yang bakal diadakan, selain berkongsi pelan tindakan serta persiapan yang perlu dilaksanakan. Antara aktiviti utama yang dirancang sempena program ini termasuklah pemeriksaan bersepadu ke atas premis makanan dan kiosk makanan/minuman, kerja-kerja pembersihan, pemeriksaan dan penggredan premis makanan serta penarafan bintang bagi tandas awam di Centre Point Sabah.
Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2025 yang bertemakan “Keselamatan Makanan, Tanggungjawab Bersama” akan diadakan pada 5 Julai 2025 (Sabtu) bertempat di Palm Square, Tingkat 4, Centre Point Sabah. Antara pengisian menarik sempena sambutan ini termasuk ceramah dan pameran kesihatan, kuiz, pemeriksaan kesihatan, serta pertandingan mewarna. Di samping itu, pengusaha premis makanan yang berjaya memperoleh Gred A akan diberikan Sijil Penarafan Kebersihan Premis Makanan sebagai pengiktirafan atas komitmen mereka dalam mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi.
Diharapkan sambutan ini dapat memperkukuh kerjasama strategik antara DBKK, pengusaha premis makanan serta agensi-agensi berkaitan dalam memastikan tahap keselamatan makanan di Bandaraya Kota Kinabalu terus terpelihara. Sokongan dan komitmen semua pihak amatlah dihargai demi merealisasikan aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang bersih, selamat dan sejahtera untuk semua.
Sumber Info: Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, DBKK
Foto: Renaldo Fernandez
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media & Komunikasi,
JPPA, DBKK



