Berita: SINERGI DBKK, HASiL JAYAKAN PROGRAM LAWATAN VERIFIKASI PEMBAYAR CUKAI TIDAK AKTIF (PCTA) 2025
03 JUN 2025: Jalinan sinergi erat di antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah menjayakan Program Lawatan Verifikasi Pembayar Cukai Tidak Aktif (PCTA) 2025, di sekitar Kota Kinabalu, pada 26 hingga 29 Mei 2025.
Objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk mengesahkan status pembayar cukai tidak aktif, khususnya dalam kalangan pemegang lesen perniagaan yang beroperasi di sekitar Anjung Kinabalu, Anjung Senja dan Pasar Malam SAFMA.
Majlis Penutupan program telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, bertempat di Horizon Hotel.
Hadir sama ialah YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; Encik Ahmad Khairuddin Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas), HASiL; YBhg. Datin Dayang Halimah Awang Ahmad, Pengarah HASiL Negeri Sabah; Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; Encik Muhammad Azhari bin Tamrin @ Thamrin, Pengarah Jabatan Perisikan dan Profiling, HASiL dan Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK selaku Pengerusi Majlis.
Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq berkata, program ini merupakan inisiatif strategik yang sangat penting, bukan sahaja dalam konteks memperkukuh sistem kutipan hasil, tetapi juga sebagai usaha mempertingkat pematuhan cukai serta memperkemas rekod pembayar cukai di peringkat tempatan.
Sementara itu, YBhg. Dato' Sri Mayor dalam ucapannya telah menyatakan hasrat untuk terus memperkukuh peranan sebagai rakan strategik kepada agensi-agensi Persekutuan dalam pelbagai usaha yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat.
Program yang berlangsung selama empat (4) hari ini melibatkan usaha sama daripada seramai 23 pegawai HASiL Kota Kinabalu, Keningau dan Labuan serta 35 anggota petugas DBKK daripada Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan.
Berdasarkan pemadanan data yang dilakukan secara sistematik dan teliti, sebanyak 380 pembayar cukai tidak aktif telah dikenal pasti dan didapati masih menjalankan aktiviti perniagaan secara aktif di sekitar lokasi tersebut.
Semoga kerjasama strategik di antara DBKK dan HASiL akan terus diperkukuh di masa akan datang!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



