Skip to main content

Berita: KURSUS PENULISAN PROFESIONAL DOKUMEN RASMI (SURAT RASMI, MEMO DAN EMEL KERAJAAN) SIRI 1

  • -

    16 JUN 2025: Sekitar 59 pegawai dan kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menghadiri Kursus Penulisan Profesional Dokumen Rasmi (Surat Rasmi, Memo dan Emel Kerajaan) Siri 1 yang diadakan di Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, Kota Kinabalu pada 04 hingga 05 Jun 2025.

    Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada anggota DBKK berkaitan penulisan dokumen rasmi yang betul dan baik dari segi pengolahan isi, bahasa, format dan susunan ayat yang betul.

    Objektif utama kursus adalah memastikan peserta dapat menggunakan format surat rasmi, memorandum dan emel yang betul berdasarkan Arahan Pentadbiran Ketua Pengarah MAMPU Bil.5 Tahun 2014: Panduan Penulisan Surat Rasmi, Memo dan Emel serta Pekeliling lain yang berkaitan selain mengaplikasikan kaedah penulisan dokumen, khususnya surat rasmi, memorandum dan emel berdasarkan tatabahasa bahasa Melayu standard.

    Majlis Perasmian Kursus dan Penyampaian Sijil Penyertaan telah disempurnakan oleh Encik Abdul Mukti Hj. Muchlish, Pengetua Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya mewakili Puan Faradillah Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), DBKK.

    Antara pengisian kursus yang berlangsung selama dua (2) hari ini ialah "Penulisan Surat Rasmi: Tahu Atau Asal Siap?" yang disampaikan oleh Encik Sairullizam bin Sukor, Pengarah Jabatan Perundangan merangkap Chief Of Staff Pejabat Mayor, DBKK; “Pengenalan Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan” dan “Gaya Bahasa Dalam Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan” oleh Puan Aidalina binti Mahlili, Perunding Latihan INTAN Sabah serta “Format Surat Rasmi, Memo Dan Emel Kerajaan” oleh Puan Sanisa binti Arib, Penolong Perunding Latihan INTAN Sabah.

    Kursus Penulisan Profesional Dokumen Rasmi (Surat Rasmi, Memo dan Emel Kerajaan) ini akan diadakan sebanyak empat (4) siri dan setiap siri akan disertai oleh 60 orang terdiri daripada pegawai dan penolong pegawai pelbagai skim jawatan di DBKK serta kakitangan DBKK yang terlibat dalam tugasan perkeranian.

    Semoga perkongsian yang diperolehi menerusi kursus ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan!

    Sumber Info dan Foto: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK