Skip to main content

Berita: ISTIADAT PERBARISAN SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KELAHIRAN RASMI YANG KE-74 TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH BERLANGSUNG PENUH MERIAH

  • -

    22 JUN 2025: Kehadiran sekitar 10,000 pengunjung bagi menyaksikan Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah telah menyemarakkan lagi suasana di pekarangan Padang Merdeka Kota Kinabalu, seawal jam 6.00, pada 21 Jun 2025.

    Majlis yang disambut dengan penuh istiadat ini dimulakan dengan perarakan masuk Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Tentera Darat Malaysia daripada Batalion Ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Samsul Afiq bin Sulaiman dengan kekuatan anggota seramai tiga (3) Pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dengan Pegawai Panji-Panji, Leftenan Muda Muhammad Hakim Jazmee bin Rosmee.

    Keberangkatan tiba Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin diiringi oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dan YB Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, JP, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, bersama isteri.

    Turut hadir menyempurnakan majlis, YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan YBhg. Mejar Jeneral Dato' Haji Noorrul Azril bin Ariffin, Panglima 5 Divisyen, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.

    Suasana penuh hormat dan patriotik disemarakkan lagi dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, diiringi tembakan meriam 17 das Tentera Darat Malaysia, yang diketuai oleh Mejar Md Nirshasha bin Md Salleh dengan kekuatan seramai 35 anggota lain-lain pangkat.

    Majlis diteruskan dengan pemeriksaan kontinjen perbarisan oleh Tuan Yang Terutama Tun Yang di-Pertua Negeri Sabah, sambil diiringi muzik daripada gabungan pancaragam Polis Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia yang diketuai oleh YDH. Inspektor Willbonoh Zain, Pengarah Pancaragam PDRM Kontinjen Sabah bersama 61 pegawai rendah polis sambil dibantu oleh Band Sargeant Major Bintara Kanan PGM Hemilton Anak Anchai dengan kekuatan seramai 30 anggota.

    Pelbagai intisari menarik diadakan bersempena dengan sambutan ini, antaranya ialah Pertandingan Berjalan Lalu melibatkan sebanyak 78 kontinjen, yang diiringi sorakan penuh meriah daripada para hadirin di sekitar Padang Merdeka Kota Kinabalu.

    Kemeriahan sambutan diteruskan dengan Persembahan Khas yang dibawakan oleh kumpulan tari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) yang merupakan hasil olahan sepenuhnya oleh LKNS dengan melibatkan Kumpulan Kesenian Negeri Sabah, antaranya ialah Borneo Art, ARTUMS dan Ngalay.

    Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang telah memberikan komitmen penuh, secara langsung dan tidak langsung, bagi menjayakan Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.

    Dirgahayu Tuan Yang Terutama Tun, semoga kekal sejahtera dan kekal teguh sebagai payung kemakmuran Negeri Sabah yang dicintai!

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK