Berita: KETEGASAN DBKK DALAM MEMASTIKAN PEMATUHAN UNDANG-UNDANG DAN KEKEMASAN PASAR-PASAR DI BANDARAYA KOTA KINABALU
10 JULAI 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus komited dalam memastikan persekitaran pasar awam di bandar raya ini kekal teratur, bersih dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan
Sehubungan itu, Jabatan Pelesenan, DBKK telah menggerakkan pasukan operasinya untuk melaksanakan dua (2) operasi penguatkuasaan secara berperingkat di Pasar Besar Kota Kinabalu dan Pasar Ikan Kota Kinabalu, pada 09 Julai 2025.
Pemeriksaan yang dijalankan di kawasan tempat letak kereta Pasar Besar Kota Kinabalu pada sekitar pukul 6.30 pagi telah mengenal pasti dua (2) penjaja menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah. Oleh itu, tindakan sitaan telah diambil ke atas tiga (3) plastik sagu dan dua (2) kerusi yang digunakan dalam aktiviti tersebut.
Sekitar pukul 8.00 pagi, pemeriksaan diteruskan di Pasar Ikan Kota Kinabalu dan mendapati terdapat beberapa penjaja yang masih belum mematuhi arahan penyimpanan peralatan di lokasi yang telah ditetapkan, walaupun notis dan peringatan telah diberikan sebelum ini. Tindakan rampasan telah dilaksanakan melibatkan dua (2) tong buah oren, tiga (3) kerusi kayu, tiga (3) meja kayu serta satu (1) raga.
Semua penjaja dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan dan syarat lesen yang ditetapkan, termasuk aspek kebersihan dan kekemasan kawasan niaga. Langkah ini adalah demi menjaga imej pasar serta memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung serta seluruh warga bandar raya.
Kerjasama daripada semua penjaja amat dihargai dalam mewujudkan suasana perniagaan yang harmoni dan berdaya saing. Walau bagaimanapun, DBKK ingin menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran peraturan demi menjamin kelestarian dan ketertiban pasar-pasar awam di Bandaraya Kota Kinabalu.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelesenan, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



