Skip to main content

Berita: PERTANDINGAN KECERIAAN GERAI PENJAJA DI PASAR BESAR KOTA KINABALU, TERAPKAN AMALAN BUDAYA KEBERSIHAN & KECERIAAN DALAM KALANGAN PENJAJA

  • -

    29 JULAI 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya telah menganjurkan Acara Penyampaian Hadiah Pertandingan Keceriaan Gerai Penjaja Di Pasar Besar Kota Kinabalu bersempena dengan Kempen Membasmi Tikus di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2025, pada 28 Julai 2025.

    Pertandingan Keceriaan Gerai Penjaja merupakan salah satu daripada inisiatif yang dijalankan bersempena dengan Kempen Membasmi Tikus Di PBT, yang merupakan program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan melibatkan sebanyak sepuluh PBT di seluruh negara.

    Mengangkat tema ‘Gerai Ceria, Keselesaan Bersama’, penganjuran pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan amalan budaya kebersihan dan keceriaan secara konsisten dalam kalangan penjaja, sekali gus memastikan keselesaaan pengunjung yang datang ke Pasar Besar Kota Kinabalu.

    Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK. Dalam ucapan alu-aluannya, beliau berkata, penilaian Pertandingan Keceriaan Gerai Penjaja Di Pasar Besar Kota Kinabalu telah dilaksanakan bermula 01 hingga 23 Julai 2025.

    Tambahnya, aspek penilaian merangkumi elemen pematuhan kepada syarat-syarat lesen penjaja, kebersihan gerai penjaja, kekemasan, keceriaan dan kecantian serta kreativiti dan amalan hijau.

    Seramai 971 penjaja daripada Bangunan Pasar Besar dan Pasar Ikan, Kota Kinabalu telah menyertai pertandingan ini dan dinilai berdasarkan enam (6) kategori yang dipertandingkan, iaitu Kategori Gerai Menjual Sayur, Kategori Gerai Menjual Buah, Kategori Gerai Menjual Barangan Kering, Kategori Gerai Makanan, Kategori Gerai Menjual Daging dan Kategori Gerai Menjual Ikan.

    Pemenang Johan, Naib Johan dan Ketiga bagi setiap kategori masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM200, RM150 dan RM100 berserta sijil.

    Turut hadir dalam majlis ini ialah Puan Syron Tunggolou, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, DBKK; Encik Rozie Khan, Pengarah Jabatan Pelesenan, DBKK; Puan Rosie Inus Molukun, Pengarah Jabatan Penyelidikan, Inovasi dan Hal Ehwal Antarabangsa, DBKK dan Puan Sally Edward Ghani, Pengarah Jabatan Arkitek dan Projek Khas, DBKK.

    Selain itu, bersempena dengan Kempen Membasmi Tikus di PBT Tahun 2025, DBKK turut menganjurkan Pertandingan Tangkap Tikus yang menawarkan insentif RM2 bagi setiap tikus yang ditangkap dan diserahkan kepada DBKK, sepanjang tempoh 01 Julai hingga 31 Julai 2025.

    Setakat 27 Julai 2025, DBKK telah menerima sebanyak 287 ekor menerusi kempen ini. Dengan berbaki tiga (3) hari lagi sebelum kempen berakhir, orang ramai masih berpeluang untuk menyatakan sokongan terhadap kempen ini dengan menyerahkan tikus yang telah ditangkap di Kaunter Pembelian Tikus yang dibuka di Tingkat Bawah, Pasar Besar Kota Kinabalu.

    Penganjuran pertandingan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran umum mengenai bahaya masalah infestasi tikus yang boleh menjadi pembawa penyakit serius seperti Leptospirosis, yang boleh menjangkiti manusia melalui air yang tecemar dengan air kencing tikus.

    Tahniah diucapkan kepada semua penjaja yang menyertai Pertandingan Keceriaan Gerai Penjaja di Pasar Besar Kota Kinabalu. Semoga komitmen yang dizahirkan menerusi pertandingan ini diteruskan seiring usaha mempertingkatkan tahap kebersihan dan keceriaan di sekitar pasar.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernande

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK