Berita: KIBARAN JALUR GEMILANG, BENDERA NEGERI SABAH SEMARAK SEMANGAT PATRIOTISME SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN HARI SABAH DAN KEMPEN KIBAR BENDERA 2025
02 OGOS 2025: Warna warni kibaran Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah telah menyemarakkan lagi semangat patriotisme bersempena dengan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025, yang berlangsung di The Magellan Sutera Resort, pada 01 Ogos 2025.
Nilai patriotisme turut dizahirkan menerusi kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang bersatu dalam suasana penuh bangga dan harmoni, sambil diiringi alunan lagu patriotik.
Majlis ditambah seri dengan kehadiran YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini merupakan kunci utama kepada kekuatan dan kemakmuran Sabah yang berterusan.
Pada masa yang sama, YAB Ketua Menteri turut menyeru kepada rakyat di negeri ini agar terus memelihara keharmonian yang dinikmati hari ini, sebagai warisan paling berharga untuk generasi akan datang.
Dalam majlis ini, YAB Ketua Menteri telah menyermpurnakan acara pengagihan bendera kepada 30 jabatan dan agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta wakil persatuan yang hadir.
Hadir sama ialah YB Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M.Yahya, Speaker DUN Sabah; YB Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah; YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Menteri Kewangan Negeri Sabah selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Majlis Hari Kebangsaan Hari Sabah Tahun 2025; YB Menteri-menteri Kabinet Negeri Sabah; YB Datuk Seri Panglima Surveyor Haji Safar bin Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah; YBhg. Dato’ Seri Haji Rosli bin Isa, Setiausaha Persekutuan Sabah; YB Timbalan-timbalan Speaker DUN Sabah; YB Pembantu-pembantu Menteri Negeri Sabah; YBhg. Datuk Mohd Sofian Alfian Nair, JP, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah selaku Pengerusi Pelaksana Sambutan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera Tahun 2025 dan YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Sambutan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera Tahun 2025.
Majlis diteruskan dengan Simbolik Penyerahan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada Puan Jainisah Mohd Noor, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah selaku Ketua Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025, sekali gus menyempurnakan ‘Flag-Off’ Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025.
KMJG 2025 yang melibatkan sebanyak 20 buah kenderaan dan 60 peserta daripada pelbagai agensi akan memulakan pengembaraan sejauh 2,500KM, ke seluruh pelusuk negeri Sabah dengan membawa mesej penyatuan rakyat sekali gus menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan.
Kehadiran seramai 50 pelajar sekolah daripada SM Stella Maris, SM Maktab Sabah, SMK Sanzac, SMK Perempuan Likas dan SM St. Francis Convent turut memeriahkan lagi suasana di sekitar majlis ini.
Ayuh, bersempena dengan Bulan Kebangsaan ini, zahirkan semangat patriotisme dan cinta akan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah pada bangunan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
Meriahkan sambutan kemerdekaan dengan memutarkan lagu-lagu patriotik di corong radio serta premis masing-masing agar semangat cintakan negara terus mekar dalam jiwa setiap rakyat Malaysia!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez, Mohd. Asruddey Rusli dan Jabatan Penerangan Negeri Sabah#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



