Skip to main content

Berita: DBKK, INSAN ANJUR KURSUS PROGRAM TRANSFORMASI MINDA SIRI 3 2025

  • -

    12 OGOS 2025: Seramai 64 lantikan baharu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menghadiri Kursus Program Transformasi Minda (PTM) Siri 3/2025 Secara ‘In-House’ yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, di Pusat Pembelajaran Bandaraya Kota Kinabalu, pada 04 hingga 08 Ogos 2025.

    Kursus yang berlangsung selama lima (5) hari ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pegawai mengenai konsep kenegaraan, prinsip dan falsafah pembentukan negara, sistem pentadbiran kerajaan serta peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam, selain menjadi salah satu syarat pengesahan dalam perkhidmatan.

    Sepanjang Kursus PTM berlangsung, para peserta telah diberi pendedahan kepada nilai-nilai budaya kerja cemerlang menerusi sesi taklimat dan aktiviti berkumpulan, sekali gus meningkatkan penyampaian perkhidmatan dengan cekap serta berkesan. Ia terbahagi kepada tiga (3) segmen utama, iaitu Segmen I: Negara dan Perkhidmatan Awam, Segmen II: Tanggungjawab dan Peranan Pegawai dan Segmen III: Budaya Kerja Kelas Pertama.

    Selain mengikuti sesi taklimat, para peserta turut mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti bersifat informatif dan interaktif menerusi kegiatan berkumpulan dan pembentangan hasil kerja kumpulan.

    Tahniah kepada semua peserta Kursus Program Transformasi Minda (PTM) Siri 3/2025. Semoga perkongsian ilmu yang diperoleh menerusi Program Transformasi Minda ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta dalam membudayakan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

    Sumber Info dan Foto: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK