Skip to main content

Berita: SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN HARI SABAH 2025 DIRAI MERIAH DENGAN SEMANGAT PATRIOTIK

  • -

    01 SEPTEMBER 2025: Cuaca panas terik tidak mematahkan semangat sekitar 50,000 pengunjung yang hadir menyaksikan momen bersejarah diukir di Jalan Tun Fuad Stephens bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025, pada 31 Ogos 2025.

    Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin, dan diiringi oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah serta isteri, Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.

    Tirai majlis dibuka dengan perarakan masuk Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Tentera Darat Malaysia daripada Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Luqman Hakim bin Sahar dengan kekuatan anggota seramai tiga (3) pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.

    Sambutan disemarakkan lagi dengan nyanyian lagu-lagu patriotik yang dibawakan oleh kumpulan koir Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), dengan ribuan pengunjung yang hadir dilihat turut sama menyanyi.

    Majlis kemudian diteruskan dengan acara yang paling dinanti-nantikan iaitu Acara Berjalan Lalu yang ditambah meriah dengan sorakan penuh semangat daripada seramai 300 belia di Tangga Merdeka, diselaraskan oleh Majlis Belia Sabah (MBS).

    Acara berjalan lalu menyaksikan sebanyak 126 kontinjen perbarisan berarak megah di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens, warna-warni kepelbagaian busana kreatif, tradisi termasuk unit beruniform menjadi tumpuan ramai.

    Mereka terbahagi kepada lapan kategori utama, iaitu Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi, Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi, Swasta, Persatuan Etnik Sabah, Pertubuhan Bukan Kerajaan, Institut Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah.

    Sorakan penonton semakin meriah dengan perarakan masuk 43 kontinjen kenderaan yang turut menampilkan aset-aset ketenteraan serta pelbagai jabatan dan agensi.

    Turut menjadi sorotan adalah persembahan Kawad Senyap dibawakan khas oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diketuai oleh Leftenan Yusni binti Manaf dengan kekuatan anggota seramai 22 orang.

    Keunikan persembahan ini mencuri tumpuan ribuan penonton yang hadir dengan kemahiran dan disiplin tinggi yang dipamerkan, di mana demonstrasi kawad kaki dilakukan dengan hanya isyarat visual tanpa menggunakan arahan suara.

    Tirai Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 dilabuhkan dengan persembahan khas bertajuk "Malaysia Madani: Rakyat Disantuni" yang merupakan hasil olahan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), yang turut menampilkan barisan artis-artis tempatan serta kumpulan kesenian seperti Borneo Art, ARTUMS, NGALAYS dan PRAPS.

    Gerak tari dan penggunaan warna-warna Jalur Gemilang dalam elemen tarian merupakan terjemahan semangat keharmonian dan kesatuan rakyat di negeri ini.

    Keterujaan dan semangat jiwa merdeka jelas terpancar pada riak wajah hadirin yang membanjiri segenap sudut di Jalan Tun Fuad Stephens, menjadi cerminan kepada rasa cinta kepada negara!

    Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #HKHM2025
    #MalaysiaMADANI
    #RakyatDisantuni
    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK