Berita: MAJLIS PERASMIAN KEJOHANAN PESTA SUKAN MUHIBAH JABATAN KETUA MENTERI KALI KE-14 TAHUN 2025
22 SEPTEMBER 2025: Perarakan masuk kontinjen perbarisan jabatan dan agensi yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Pesta Sukan Muhibah Jabatan Ketua Menteri Kali Ke-14 Tahun 2025 menerima sorakan meriah dalam Majlis Perasmian yang berlangsung di Padang Merdeka Kota Kinabalu, pada 20 September 2025.
Sebanyak tujuh (7) kontinjen bakal berentap dalam kejohanan pada kali ini melibatkan Jabatan Ketua Menteri (Perdana), Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Kumpulan Yayasan Sabah dan Kumpulan Sawit Kinabalu.
Penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan anggota-anggota Perkhidmatan Awam di Jabatan Ketua Menteri, memupuk semangat kerja berpasukan, toleransi dan muhibah serta membudayakan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah. Dalam ucapannya, beliau berkata, kejohanan ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, tetapi juga melahirkan warga kerja yang lebih produktif, berdedikasi serta berpandangan positif.
Hadir sama ialah YBhg. Datuk Dr. Ahemad bin Sade, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Pembangunan) selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Pesta Sukan Muhibah Jabatan Ketua Menteri Kali Ke-14 Tahun 2025; YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis Perasmian Kejohanan Pesta Sukan Muhibah Jabatan Ketua Menteri Kali Ke-14 Tahun 2025 dan YBhg. Datuk Zainudin bin Aman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.
Majlis diteruskan dengan gimik perasmian Kejohanan Pesta Sukan Muhibah Jabatan Ketua Menteri Kali Ke-14 Tahun 2025 yang disempurnakan oleh YB SKN.
Simbolik kejohanan menyaksikan dua anggota Jabatan Penguatkuasaan, DBKK iaitu atlet larian, Puan Kona Liaw membawa masuk obor kejohanan sebelum diserahkan kepada bekas pemain bola sepak dan ketua pasukan negeri Sabah, Encik Jelius Ating yang kemudian telah menyalakan api di kawah obor.
Kejohanan ini akan berlangsung pada 20 hingga 27 September 2025 dengan melibatkan sebanyak 15 acara sukan seperti Tarik Tali, Catur, Karom, Tenpin Boling, Futsal, Bola Jaring, Golf, Ping Pong, Bola Sepak, e-Sport, Dart, Sepak Takraw, Bola Tampar, Badminton dan Petanque.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Datuk Sr. Bernard Liew Chau Min, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah; YBhg. Datuk Frederick Kugan, Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah; YBhg. Datuk Jumain bin Abdul Ghani, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah; YBhg. Philipa Datuk Wilfred Mojilis, Ketua Pegawai Eksekutif SKG Green Sdn. Bhd.; YBhg. Encik Hanafiah Diman, Setiausaha Korporat Yayasan Sabah dan Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Perasmian Kejohanan Pesta Sukan Muhibah Jabatan Ketua Menteri Kali Ke-14 Tahun 2025.
Sebagai pembuka kejohanan, turut berlangsung pertandingan akhir acara Tarik Tali yang menyaksikan pertarungan sengit di antara Kumpulan Yayasan Sabah dan DBKK bagi kategori lelaki dan wanita.
DBKK muncul sebagai juara bagi kedua-dua kategori ini sekali gus membawa pulang pingat emas pertama dalam kejohanan ini.
Semoga maju jaya kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Pesta Sukan Muhibah Jabatan Ketua Menteri Kali Ke-14 Tahun 2025!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



