Berita: DBKK SERTAI PROGRAM 2025 TPO CAPACITY BUILDING (BUSAN WORKSTATION)
04 NOVEMBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menyertai Program 2025 TPO Capacity Building (Busan Workstation) anjuran Tourism Promotion Organization for Global Cities (TPO) yang diadakan di Busan, Korea pada 27 hingga 30 Oktober 2025.
Seramai 18 pegawai daripada bandar-bandar ahli TPO telah mengambil bahagian dalam program ini. DBKK telah diwakili oleh Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Khidmat Pengurusan, DBKK.
Program ini bertujuan untuk memperkukuh keupayaan dasar dan memperluas jaringan kerjasama antara bandar ahli TPO di seluruh dunia, selain memperkenalkan konsep “Workation” yang merupakan gabungan elemen kerja dan percutian, sebagai aplikasi dasar bagi memperkukuh keupayaan pegawai dalam merangka polisi pelancongan yang inovatif dan mampan.
Peserta berpeluang untuk mengalami dan menanda aras konsep ini, melalui lawatan infrastruktur serta program khas yang dibangunkan oleh kerajaan tempatan di Busan, Korea. Melalui platform ini, pelbagai langkah kerjasama baharu turut diteroka bagi memperkukuh hubungan dan membina rangkaian jangka panjang di antara bandar ahli TPO.
Sepanjang program berlangsung, peserta turut melawat ke beberapa lokasi utama di Busan yang menjadi pusat pelaksanaan konsep ini, termasuk Busan Workation Hub Center (Stesen Busan), Wave in Haeundae Workation (Songjung) dan Arte Museum Busan.
Penganjuran 2025 TPO Capacity Building Program (Busan Workation) menjadi platform penting dalam mempertingkat keupayaan pegawai dalam memahami aliran pelancongan pada masa kini selain memperkukuh dasar yang menyokong pembangunan bandar pintar dan kesejahteraan masyarakat.
Sumber Info dan Foto: Pejabat Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK
Suntingan: Bahagian Media dan Komunikasi, JPPA#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



