Skip to main content

Berita: KERJA-KERJA PENYELENGGARAAN JALAN RAYA DI LORONG PASAR, KOTA KINABALU

  • -

    11 JANUARI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui syarikat konsesi, Pembinaan Kekal Mewah (PKM) Sdn. Bhd. telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di Lorong Pasar, Kota Kinabalu, pada 09 Januari 2026.

    Tindakan ini diambil susulan aduan yang diterima, di mana tindakan pembaikan segera telah diselaraskan bagi jalan tersebut yang dikenal pasti berada di bawah bidang kuasa PKM, selaku kontraktor seliaan Kementerian Kewangan Negeri Sabah.

    Pemeriksaan tapak telah dijalankan bagi menentukan tahap kerosakan sebelum kerja-kerja pembaikan dimulakan melibatkan jalan raya sepanjang 390 meter.

    Bagi memastikan kualiti kerja dan ketahanan jangka masa panjang, kerja-kerja penurapan dan tampalan jalan telah menggunakan bahan asfalt yang diluluskan serta dipadatkan dengan peralatan yang sesuai.

    Sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja pembaikan ini, aspek keselamatan pengguna jalan raya dan pekerja tapak sentiasa diberi keutamaan. Kawalan trafik sementara serta papan tanda amaran disediakan bagi memastikan kelancaran aliran trafik.

    Keseluruhan kerja-kerja penyelenggaran ini dilaksanakan mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

    DBKK akan terus memantau keadaan jalan raya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu serta memastikan penyelarasan berterusan bersama syarikat konsesi dalam menangani aduan awam secara pantas dan berkesan, demi keselamatan serta keselesaan pengguna.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengangkutan dan Trafik, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK