Skip to main content

Berita: KEMPEN KESEDARAN MY CITY, MY RESPONSIBILITY 1.0: TINGKAT KESEDARAN KEPENTINGAN PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR

  • -

    30 JUN 2025: Usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar diperhebat menerusi Kempen Kesedaran My City, My Responsibility (MCMR) 1.0 Bersempena Dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Tahun 2025, yang diadakan di Kompleks Karamunsing, pada 29 Jun 2025.

    Kempen yang direalisasikan melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK ini bertujuan untuk mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan sekali gus menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya bersih, hijau dan berdaya huni.

    Majlis Perasmian Penutupan kempen ini telah disempurnakan oleh Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK yang mewakili YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

    Dalam ucapannya, Dato' Sri Mayor berkata, pelaksanaan kempen ini bukan sekadar usaha ke arah kesedaran, tetapi juga merupakan gerakan kolektif menuju pengukuhan budaya kebersihan, kelestarian dan tanggungjawab sivik dalam kalangan warga Bandaraya Kota Kinabalu.

    Tambahnya, inisiatif ini adalah bukti nyata bahawa kejayaan dalam mewujudkan persekitaran bandar raya yang bersih, sihat dan lestari bukan hanya terletak pada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tetapi merupakan hasil usaha kolektif semua pihak, termasuk masyarakat, institusi, agensi dan sektor swasta.

    Turut hadir memberikan sokongan penuh terhadap kempen ini ialah YBhg. Datuk Haji Ag. Buhtamam Ag Mahmun, Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn. Bhd.; YBhg. Datuk James Hwong, Pengarah Urusan Crest Megaway Sdn. Bhd.; Puan Muneeswari A/P Velautham, Chief Nursing Officer, KPJ Sabah Specialist Hospital dan Encik Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK.

    Kempen yang diadakan dengan kerjasama erat Kompleks Karamunsing, Sedafiat Sdn. Bhd. Dan KPJ Sabah Specialist Hospital ini telah berlangsung bermula 8 pagi hingga 5 petang dan menawarkan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik untuk penyertaan daripada semua lapisan masyarakat.

    Antaranya ialah KK Cleanup, Program Kesedaran Derma Darah & Pemeriksaan Kesihatan Percuma dan Pocket Talk yang terbahagi kepada tiga (3) sesi iaitu Pengurusan Sisa Klinikal oleh Sedafiat Sdn. Bhd.; Pengurusan e-Waste oleh Jabatan Alam Sekitar dan Isu Alam Sekitar di Sabah dan Kaedah Penjagaan serta Pemuliharaan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar. Turut menjadi tumpuan ramai adalah Pameran Interaktif yang menampilkan teknologi hijau, produk mesra alam serta maklumat pendidikan berkaitan kesedaran terhadap isu-isu semasa.

    Selain itu turut berlangsung Pertandingan Treasure Hunt; Pertandingan Reka Cipta Antara Sekolah-sekolah; Pertandingan Mewarna Kanak-kanak; Kids Fashion Show; Pertandingan Kitar Semula Isi Rumah dan Pertandingan Kutipan Berat Kitar Semula Antara Sekolah-sekolah.

    Terima kasih diucapkan kepada semua pihak atas kerjasama padu dalam menjayakan Kempen Kesedaran MCMR 1.0 serta memastikan objektifnya tercapai.

    Semoga program seumpama ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berteraskan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, seiring usaha menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya lestari, hijau dan berdaya huni.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK