Berita: KUNJUNGAN HORMAT AKADEMI PUSAT PEMBELAJARAN BANDARAYA, DBKK KEPADA INSTITUT KOPERASI MALAYSIA (IKMa) ZON SABAH
18 FEBRUARI 2025: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya (APPB), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah, baru-baru ini.
Kunjungan ini bertujuan untuk menjalin kerjasama strategik di antara DBKK dan IKMa Zon Sabah, khususnya dalam membentuk model latihan bagi anggota-anggota yang bakal bersara, selain mengenal pasti peluang-peluang yang ada untuk mereka memajukan pengetahuan dan kemahiran dalam konteks pengurusan koperasi, peluang perniagaan, latihan dan penglibatan dalam aktiviti koperasi.
Rombongan DBKK yang diketuai oleh Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), DBKK telah disambut mesra oleh Encik Mohd. Razalie Raffae, Pengarah IKMa Zon Sabah.
Hadir sama ialah Encik Redzuan Saudi, Pegawai Latihan Kanan; Puan Norawati Ngatmin, Pegawai Latihan Kanan dan Encik Mohd Noor Juan, Penolong Pengarah Kanan.
Semasa kunjungan ini, rombongan APPB, DBKK telah mendengar taklimat berkaitan peranan dan fungsi utama IKMa Zon Sabah, program latihan, kemudahan latihan, pembelajaran dalam talian serta jenis-jenis kursus yang boleh ditawarkan kepada DBKK. Selain itu, turut dibincangkan mengenai rancangan ke arah kemajuan Koperasi DBKK.
DBKK yakin bahawa jalinan ini akan mampu memupuk dan membina hubungan kerjasama yang kukuh dengan pelbagai pihak yang terlibat dalam pengurusan koperasi, termasuklah koperasi sedia ada, agensi kerajaan, dan pihak berkepentingan yang lain. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan rangkaian sokongan dan memudahkan perkongsian sumber dan pengetahuan.
Semoga pertemuan ini dapat menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat di masa akan datang!
Sumber Info dan Foto: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



