Berita: KUNJUNGAN HORMAT AKADEMI PUSAT PEMBELAJARAN BANDARAYA, DBKK KEPADA PENGARAH AKADEMI KENEGARAAN MALAYSIA (AKM) NEGERI SABAH
04 JUN 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya (APPB) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sabah, pada 03 Jun 2025.
Kunjungan hormat yang diketuai oleh Encik Abdul Mukti bin Haji Muchlish, Pengetua APPB, DBKK ini merupakan langkah awal dalam memperkukuhkan hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi yang berperanan penting dalam bidang latihan.
Disambut dengan penuh kemesraan oleh YBhg. Datin Shonitah binti Terang, Pengarah AKM Negeri Sabah, kunjungan ini telah membuka ruang ke arah inisiatif strategik jalinan jaringan kerjasama yang lebih erat dalam merangka modul latihan, perkongsian pengalaman, pembangunan kapasiti sumber manusia serta perkongsian kemudahan-kemudahan kursus.
Selain itu, ia juga membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk merancang aktiviti kolaboratif seperti Program Penghayatan Aspirasi Malaysia Madani yang berbentuk bicara interaktif, seminar atau kursus khusus untuk kakitangan DBKK dan komuniti Bandaraya Kota Kinabalu.
Dengan semangat kerjasama dan muafakat, kunjungan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara melalui pembangunan dan pemantapan sumber manusia warga Malaysia yang lebih berkualiti.
APPB mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian menerima kunjungan hormat ke Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sabah dan berharap kolaborasi ini dapat dijayakan, sekali gus menjadi langkah awal ke arah pencapaian matlamat bersama.
Sumber Info dan Foto: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



