Skip to main content

Berita: Kunjungan Hormat Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah

  • 10 JANUARI 2025: Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YDH CP Datuk Jauteh bin Dikun, Pesuruhjaya Polis Sabah, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

    Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya dalam usaha menaik taraf keselamatan, meningkatkan kesejahteraan masyarakat, dan mencantikkan persekitaran bandaraya.

    Delegasi DBKK yang turut hadir ialah Tuan Karim Rahim, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan, serta Tuan Mohd.Haniff Abdullah, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, dan beberapa orang pegawai tertinggi DBKK.

    Manakala, pihak IPK Sabah diwakili oleh YDH CP Datuk Jauteh bin Dikun, Pesuruhjaya Polis Sabah, YDH DCP Datuk Shahurinain bin Jais, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, YDH SAC Datuk Azmi bin Abdul Rahim, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah, YDH SAC Nik Md Zain bin Nik Omar, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sabah, YDH ACP Kasim bin Muda, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, serta YDH Supt. Rosdi bin Mat Jusoh, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Sabah.

    Perbincangan memberi tumpuan kepada permasalahan kes kecurian kabel yang berleluasa di sekitar bandaraya sehingga merugikan pihak DBKK dalam melakukan operasi baik pulih kawasan-kawasan yang terjejas.

    Sehubungan itu, isu palauh juga menjadi isu penting dalam perbincangan ini, di mana usaha mencari penyelesaian bagi menangani kes-kes peminta sedekah dan jenayah yang semakin menjadi perhatian di sekitar bandaraya.

    DBKK turut membawa beberapa isu penting, termasuk bertukar pandangan dan menerima nasihat untuk meningkatkan imej Jabatan Penguatkuasaan lebih proaktif dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang, khususnya bagi memastikan bandaraya dalam keadaan selamat, teratur, dan selesa.

    Adalah diharapkan agar kerjasama erat ini dapat terus diperkukuhkan dalam memastikan Kota Kinabalu menjadi bandaraya yang lebih selamat, indah, dan sejahtera.

    Melalui usaha bersama, segala inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kepentingan penduduk setempat serta meningkatkan imej bandaraya sebagai destinasi pilihan pelancong.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPeranginanSemulajadi

    Laporan: Bella Berhaman
    Sumber Foto: Mohd. Asruddey Rusli