Berita: Kunjungan Hormat Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah
KOTA KINABALU – Mayor Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu.
Kunjungan ini diadakan bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada Tun (Dr.) Musa Aman atas pelantikan beliau sebagai Tuan Yang Terutama Negeri Sabah yang baharu.
Dalam kunjungan tersebut, DBKK turut mengambil peluang untuk berkongsi mengenai pencapaian, pelan strategik jangka panjang, serta inisiatif-inisiatif pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan demi memacu kemajuan serta kesejahteraan warga Kota Kinabalu.
Pihak DBKK juga telah menjemput Tun (Dr.) Musa Aman dan Toh Puan untuk menghadiri Sambutan Jubli Perak Ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu, yang akan berlangsung pada 2 Februari 2025.
Sambutan istimewa ini akan menampilkan pelbagai program menarik seperti Upacara Menaikkan Bendera, acara sukan seperti berbasikal dan half marathon, serta pelbagai aktiviti lain yang dirancang sepanjang bulan Februari.
Tun (Dr.) Musa Aman, dalam kunjungan tersebut, telah menasihati semua warga DBKK agar sentiasa melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah, berintegriti, dan memberi keutamaan kepada keperluan serta kebajikan penduduk dan pengunjung di Kota Kinabalu.
Kunjungan hormat ini turut disertai oleh barisan kepimpinan tertinggi DBKK, iaitu Puan Faradillah Abd Rani selaku Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), Robert Lipon selaku Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), Karim Rahim selaku Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), serta Victor Gerard Kuasi selaku Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Kewangan) dan Pegawai Kanan DBKK.
Kunjungan ini melambangkan komitmen DBKK untuk mempererat hubungan dengan kepimpinan negeri, sekaligus memperkukuhkan peranannya dalam merealisasikan visi Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya yang mampan, progresif, dan kompetitif di peringkat global.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPeranginanSemulajadiLaporan: Bella Berhaman
Sumber Foto: Mohd. Asruddey Rusli



