Skip to main content

Berita: LAWATAN PEMANTAUAN MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU

  • -

    14 OKTOBER 2025: Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu hari ini telah mengadakan lawatan pemantauan (rounding) ke beberapa kawasan terpilih di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. Lawatan ini bertujuan meninjau keadaan semasa dan memastikan aspek kebersihan, penyelenggaraan serta penambahbaikan infrastruktur bandar sentiasa berada pada tahap yang optimum.

    Lawatan berkenaan turut disertai oleh pengurusan serta pegawai kanan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) daripada pelbagai jabatan, teknikal dan operasi. Antara objektif utama lawatan ini adalah untuk menilai secara langsung keberkesanan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan, kebersihan dan operasi lapangan yang dijalankan oleh pihak kontraktor serta jabatan berkaitan.

    Fokus pemerhatian turut meliputi pelbagai aspek termasuk pengurusan sisa pepejal dan sisa laut, kebersihan kawasan awam, keadaan laluan pejalan kaki dan jogging track, sistem saliran dan parit, tahap penyelenggaraan lori pengangkut sampah, fungsi lampu jalan, keadaan jalan raya, sistem kumbahan (sewerage), kemudahan tandas awam, tekanan serta kualiti air, landskap bandar, kawasan perniagaan dan penjaja, serta tahap kesihatan dan keselamatan awam di kawasan sekitar.

    Dato’ Sri Mayor turut menekankan pentingnya setiap jabatan dan kontraktor terlibat untuk mengambil tindakan segera terhadap sebarang isu yang dikenal pasti semasa lawatan, agar tahap kebersihan dan penyelenggaraan bandar dapat dipertingkatkan secara berterusan.

    Beliau menegaskan bahawa aktiviti pemantauan lapangan sebegini merupakan langkah proaktif DBKK dalam memastikan mutu perkhidmatan bandar raya terus ditambah baik serta selaras dengan visi menjadikan Kota Kinabalu sebagai Bandaraya yang Bersih, Indah dan Lestari.

    Dato’ Sri Mayor turut menyeru semua warga bandar raya agar memainkan peranan bersama dalam menjaga kebersihan, keindahan dan keharmonian persekitaran demi kesejahteraan bersama.

    Lawatan pemantauan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap kawasan di bawah pentadbiran DBKK berada dalam keadaan terurus, selamat dan kondusif untuk didiami serta dikunjungi.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bella Berhaman
    Pegawai Penerangan

    Mohd. Asruddey Rusli
    Jurugambar