Berita: LAWATAN TEKNIKAL MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU DI JALAN TUGU
Pada 15 Mei 2025 (Khamis), Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah mengetuai satu lawatan teknikal di sekitar kawasan Jalan Tugu, melibatkan tiga buah premis utama iaitu Hotel Horizon, stesen minyak Shell, dan sebuah restoran makanan laut.
Lawatan ini bertujuan meninjau permasalahan sistem saliran, kebersihan persekitaran dan pematuhan premis terhadap pelan kelulusan serta penyelenggaraan infrastruktur.
Lawatan turut disertai oleh Tuan Jimon Jahim, Pengarah Holding Sdn. Bhd., Pengarah Jabatan Kejuruteraan DBKK, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran DBKK, wakil Jabatan Landskap DBKK, serta pengurusan kanan dan pemilik premis-premis terlibat.
Hasil tinjauan mengenal pasti dua isu utama yang memerlukan tindakan segera. Pertama, air hujan dari kawasan Shell gagal dialirkan dengan sempurna ke arah Hotel Horizon, menyebabkan takungan air. Kedua, mainhole kumbahan di hadapan Hotel Horizon didapati melimpah, menimbulkan risiko pencemaran dan menjejaskan imej persekitaran bandaraya.
Sehubungan itu, Dato’ Sri Mayor mengarahkan agar kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan segera oleh pemilik premis, mengikut kelulusan pelan pembangunan sedia ada.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Teknikal DBKK untuk meniliti semula semua pelan pembangunan dan rekabentuk sistem saliran yang diluluskan bagi pembangunan sekitar kawasan ini dikemukakan untuk semakan dalam mesyuarat teknikal.
Dato’ Sri Mayor juga menegaskan bahawa air hujan yang dialirkan ke kawasan lain perlu bersih, justeru setiap premis wajib memastikan sistem penapisan berfungsi dan disenggara secara berkala. Beliau turut mengambil maklum berkenaan status permohonan peruntukan bagi menaik taraf jejantas Segama, dan menggesa agar tindakan segera diambil.
Selain itu, Jabatan Landskap DBKK diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan berkala terhadap parit di luar pagar stesen minyak Shell, bagi memastikan kelancaran sistem saliran dan kebersihan kawasan.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu akan terus memantau pelaksanaan tindakan susulan dan memastikan semua pihak terlibat mematuhi arahan.
DBKK kekal komited untuk memperkukuh kerjasama dengan semua pihak berkepentingan demi mewujudkan persekitaran bandaraya yang bersih, teratur dan selamat, selaras dengan aspirasi pembangunan Sabah Maju Jaya.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariLaporan: Bella Berhaman
Sumber Foto: Mohd. Asruddey Rusli



