Berita: MAJLIS APRESIASI DBKK, JULANG PENGIKTIRAFAN DAN PENGHARGAAN KEPADA WARGA KERJA DBKK
12 FEBRUARI 2025: Lebih 2,000 kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah diraikan dalam satu majlis penuh gemilang baru-baru ini, iaitu Majlis Apresiasi DBKK bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu.
Malam yang menjulang pengiktirafan dan penghormatan ke atas seluruh warga kerja DBKK ini bertambah maknanya dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah yang turut hadir bersama-sama dengan dif-dif kenamaan yang lain antaranya Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri dan isteri, Yang Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Dr. Hajah Nuinda binti Haji Alias serta Yang Berhormat Datuk Abidin Madingkir, JP, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah selaku Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada DBKK dan isteri, Yang Berbahagia Datin Florence Malangkig.
Ketibaan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah telah disambut meriah dengan tepukan penghargaan daripada kakitangan-kakitangan DBKK, sambil diiringi oleh Yang Berbahagia Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan isteri, Yang Berbahagia Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selaku Pengerusi Penganjur program. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja DBKK atas dedikasi mereka dalam membangunkan dan mentransformasikan Kota Kinabalu menjadi sebuah bandar raya yang progresif.
Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah yang menekankan kepentingan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan pembangunan bandar raya terus berkembang pesat. Beliau turut menyatakan bahawa pencapaian yang dikecapi oleh DBKK selama 25 tahun ini merupakan hasil usaha kolektif semua pihak.
Sebagai simbolik kepada Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu, pelancaran arca Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu telah disempurnakan, melambangkan kemajuan dan aspirasi bandar raya ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
Para tetamu turut disaji dengan jamuan makan malam seraya menyaksikan tayangan video yang mengimbau kembali pencapaian DBKK sepanjang tahun 2024, dengan implementasi pelbagai inisiatif dan kejayaan yang telah dicapai oleh DBKK dalam meningkatkan mutu perkhidmatan berkualiti tinggi.
Majlis Apresiasi DBKK ini turut bertujuan untuk memberikan pengiktirafan tertinggi kepada anggota Dewan Bandaraya Kota Kinabalu daripada pelbagai sektor dan skim perkhidmatan yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang serta komitmen yang amat tinggi kepada organisasi sepanjang tahun 2024.
Sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan, penghormatan khas turut diberikan kepada para pesara DBKK yang telah banyak berjasa kepada organisasi dan kepada Bandaraya Kota Kinabalu.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu turut melakar penghargaan istimewa kepada Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dengan penyampaian Anugerah Pencetus Transformasi Digital Negeri Sabah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu.
Majlis ini melabuhkan tirainya sekitar pukul 10.00 malam, dengan harapan agar DBKK terus maju sebagai pengurus tadbir bandar raya yang berwibawa dan berdedikasi dalam memajukan Kota Kinabalu, ke arah bandar raya pintar dan lestari.
Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga kerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu!
Liputan: Sarah Zaki
Sumber Foto: Renaldo Fernandez#SambutanUTB25JubliPerak
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA DBKK



