Berita: MAJLIS BERBUKA PUASA DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU BERSAMA MEDIA
18 MAC 2026: Keindahan bulan Ramadan terus diraikan bersama sekitar 100 pengamal media yang hadir dan memeriahkan Majlis Berbuka Puasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Bersama Media, yang diadakan di Hilton Hotel, pada 17 Mac 2026.
Selain menjadi platform menghargai peranan pengamal media yang selama ini menjadi nadi penyampaian informasi yang tepat kepada masyarakat, majlis ini juga merupakan wadah dalam mempererat kerjasama strategik DBKK bersama media.
Dalam memaknai bulan yang penuh keberkatan ini, YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah menyampaikan sumbangan khas sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada 20 pengamal media yang memerlukan.
Sesi penyampaian ini turut disaksikan oleh YB Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Merangkap Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada DBKK dan YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK.
Hadir dalam majlis ini ialah barisan Pengurusan Tinggi, DBKK, Pengarah Eksekutif DBKK Holdings Sdn. Bhd. (DBKKH) serta Ketua-ketua Jabatan, DBKK.
Dalam majlis ini, YBhg. Dato’ Sri Mayor turut berkesempatan untuk beramah mesra bersama Puan Mariah Doksil, Presiden Sabah Journalists Association dan Encik Jimmy Goh, Pengerusi Kota Kinabalu Journalists Association yang turut hadir.
Sebelum majlis berakhir, YB Datuk Joniston telah menyempurnakan simbolik penyampaian kuih-muih Hari Raya Aidilfitri kepada 22 wakil agensi media yang hadir. Antaranya ialah Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah, FINAS (Unit Kreatif Cawangan Sabah), Astro Awani, TV3, TVS, The Malaysia Press, New Straits Times, The Star, The Malay Mail, Kosmo Online, TV Sabah News, Sabah Media, Info X, Sayang Sabah, Daily Express, The Borneo Post, Utusan Borneo, Overseas Chinese Daily News, Sin Chew Daily, Asia Times dan See Hua Daily News,
Semoga sinergi di antara DBKK dan media terus kukuh, selaras dengan visi menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya pintar, berdaya huni dan lestari.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



