Berita: OPERASI MEMBANTERAS PENJAJA TANPA LESEN DI PASAR BESAR KOTA KINABALU, USAHA KE ARAH PEMANTAPAN KETERATURAN DI PASAR AWAM
15 JULAI 2025: Sebagai tanda komitmen dalam memastikan keteraturan pasar awam dan pematuhan penjaja di sekitar bandar raya sentiasa di tahap terbaik, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus melaksanakan Operasi Membanteras Penjaja Tanpa Lesen di Pasar Besar Kota Kinabalu, sekitar pukul 6.15 pagi, pada 13 Julai 2025.
Inisiatif ini merupakan lanjutan daripada operasi penguatkuasaan yang diadakan secara berperingkat di Pasar Besar Kota Kinabalu dan Pasar Ikan Kota Kinabalu, pada 09 Julai 2025.
Pelaksanaan operasi ini bertujuan untuk memastikan tiada aktiviti penjajaan haram berlaku di sekitar pasar dan sepanjang laluan ke Anjung Kinabalu, dengan melibatkan anggota-anggota DBKK, yang terdiri daripada Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan.
Menerusi operasi ini, DBKK telah mengesan aktiviti penjajaan haram melibatkan penjaja tanpa lesen di hadapan bangunan Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA). Susulan itu, anggota yang bertugas telah bertindak untuk menyita satu (1) bakul berisi jualan.
DBKK akan melaksanakan operasi seperti ini secara berterusan sebagai bukti komitmen membanteras penjaja tanpa lesen, selain memastikan kebersihan dan keteraturan Bandaraya Kota Kinabalu sentiasa terpelihara. Para penjaja turut dinasihatkan untuk sentiasa patuh kepada undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan, demi kebaikan bersama.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelesenan, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



