Skip to main content

Berita: PROGRAM BERBASIKAL FREE RIDE TOUR DAN KK HARMONY RIDE 2025, SEMAI NILAI KEHARMONIAN DALAM KALANGAN PESERTA

  • 17 FEBRUARI 2025: Seramai 18 mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah mengambil bahagian dalam Program Berbasikal Free Ride Tour dan KK Harmony Ride 2025 di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, pada 15 Februari 2025.

    Antara IPT yang terlibat dalam menjayakan program ini ialah Almacrest International College, AMC University College dan Jesselton University College.

    Program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama DBKK Holdings Sdn. Bhd, Sabah Tourism Board (STB) dan Sabah Tourist Guide Association (STGA).

    Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk memperkenalkan aktiviti pelancongan yang akan menonjolkan keunikan Bandaraya Kota Kinabalu, iaitu kepelbagaian kaum dan agama yang hidup bersama secara harmoni, melalui aktiviti berbasikal secara percuma.

    Program yang bermula sekitar 2 petang ini menyaksikan para peserta berbasikal daripada KK Sentral menuju ke tiga (3) 'pitstop', iaitu Masjid Negeri Sabah, Gurdwara Sahib Sikh Temple dan Sacred Heart Cathedral, di mana mereka berpeluang untuk melawat selain mendengar taklimat ringkas berkaitan setiap lokasi.

    Penganjuran program seumpama ini juga merupakan antara inisiatif dalam mempromosikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai destinasi pilihan kepada pelancong dengan menyediakan program berbasikal sebagai tambahan kepada aktiviti pelancongan sedia ada.

    Semoga usaha sama ini dapat diteruskan di masa akan datang melalui inisiatif ke arah menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang bersih, hijau dan harmoni.

    Terima kasih dan tahniah kepada semua peserta!

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK