Skip to main content

Berita: PROGRAM KEMAMPANAN KOMUNITI BANDAR: LEAVE NO ONE BEHIND: CY-CLEAN (CYCLING & CLEAN) 2.0, INISIATIF MELESTARIKAN BANDARAYA KOTA KINABALU

  • -

    08 OKTOBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat telah menganjurkan Program Kemampanan Komuniti Bandar: Leave No One Behind: Cy-Clean (Cycling & Clean) 2.0, bertempat di Tapak Tugu Pekan Inanam, bermula 6 pagi hingga 4 petang, pada 05 Oktober 2025.

    Dengan slogan "Wise Use of Natural and Built Environments, Promotes Healthy Family Lifestyle and Building Cohesive Communities", program ini merupakan program tahunan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertujuan untuk menggalakkan pengangkutan mesra alam dan rendah karbon, meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar dan amalan gaya hidup sihat.

    Program telah disempurnakan oleh Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK yang hadir mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Hadir sama ialah YDH SAC Datuk Mohd Azhar bin Hamin, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah dan Puan Darna Badawi, Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK; Ketua-ketua Jabatan, DBKK; Encik Ng Kah Ghor, Presiden Persatuan Pekak serta wakil daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    Sekitar 1,000 orang peserta telah mengambil bahagian dalam program ini, terdiri daripada golongan belia, wanita, warga emas, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), Orang Kurang Upaya (OKU), komuniti dalam dan luar bandar serta pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

    Para peserta telah dilepaskan di Tapak Tugu Pekan Inanam sebelum masing-masing bergerak ke Kampung Sinulihan, Inanam bagi peserta berbasikal dan Pasar Basah Inanam bagi peserta berjalan kaki.

    Sebaik tiba di Kampung Sinulihan, para peserta telah diberi taklimat berkaitan Wabak Denggi yang disampaikan oleh Dr. Vigneswaran A/L Shanmugam, Pegawai Perubatan, Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu sebelum diteruskan dengan penanaman Pokok Kelapa Pandan.

    Sementara itu, pelbagai pengisian menarik diadakan di Tapak Tugu Pekan Inanam yang mendapat sokongan meriah daripada pelbagai lapisan masyarakat. Antaranya ialah demonstrasi kraf Citra Kasih 'Upcycling' bersama peserta daripada Persatuan Pekak Sabah, Kuiz Alam Sekitar, Cabuan Bertuah, Jualan Rahmah Madani serta menyaksikan persembahan Kulintangan yang dibawakan khas oleh komuniti Darau.

    Lebih menarik lagi adalah pembukan pameran interaktif daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM); Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK); Balai Seni Lukis Sabah; DBKK Holdings Sdn. Bhd. serta Jabatan-jabatan DBKK, iaitu Jabatan Penyelidikan, Inovasi dan Hal Ehwal Antarabangsa (JPIHEA), Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP).

    Turut berlangsung pertandingan Mini Treasure Hunt, pertandingan Mewarna Alam Sekitar, Pertandingan Menyusun Lego Bersama Kanak-Kanak Autisme, Pertandingan Gubahan Bunga/Hiasan Taman Daripada Bahan Kitar Semula dan Pertandingan Hiasan Basikal.

    Program ini juga mendapat sokongan daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.18 Inanam; Persatuan Autisme Sabah; Persatuan Orang Kerdil Sabah dan Kumpulan Pelukis Sabah.

    Terdahulu, pada tahun 2024, DBKK bersama KPKT telah berjaya menganjurkan Program Kemampanan Komuniti. Bandar Cy-Clean buat julung kalinya yang telah menerima sokongan padu daripada komuniti dengan penyertaan lebih 650 peserta.

    Jumpa anda di Program Kemampanan Komuniti Bandar: Leave No One Behind: Cy-Clean (Cycling & Clean) akan datang!

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez & Pejabat Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK