Berita: SAMBUTAN HARI PAHLAWAN PERINGKAT NEGERI SABAH TAHUN 2025: DOA DAN INGATAN BUAT WIRA NEGARA
01 OGOS 2025: Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 yang diadakan pada 31 Julai 2025 telah berlangsung dengan penuh istiadat dan jiwa patriotik, sekali gus mengukir detik bersejarah di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Keberangkatan tiba Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah telah disambut oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, sebelum menerima tabik hormat daripada pasukan Kawalan Kehormatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah sebagai simbol penghargaan tertinggi kepada kepimpinan negeri dan jasa pasukan keselamatan.
Majlis dimulakan dengan acara menaikkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah, disusuli dengan nyanyian penuh semangat lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku. Upacara ini kemudian diteruskan dengan Tiupan Paluan Akhir “The Last Post” dan bertafakur selama 30 saat sebagai tanda penghormatan yang mendalam kepada wira-wira negara yang telah gugur dalam mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta.
Suasana penuh semangat turut diserikan dengan penyertaan 14 kontinjen perbarisan yang terdiri daripada pelbagai agensi penguat kuasa, badan kerajaan serta institusi pendidikan yang melambangkan penyatuan rakyat dalam mengenang jasa perajurit tanah air.
Antara intisari sambutan tahun ini ialah Lintas Hormat daripada Pesara PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persembahan Koir daripada PERKEP dan BAKAT yang menyampaikan lagu patriotik “Pahlawan Ku”, Persembahan Khas gabungan Pancaragam PDRM dan ATM, serta persembahan pantomim menyentuh hati bertajuk “Tanduo: Titisan Darah di Bumi Merdeka”, mengangkat kisah perjuangan perwira negara dalam mempertahankan tanah air tercinta. Acara ini diakhiri dengan deklamasi sajak bertajuk “Mekar di Hati Pahlawanku”, menyemarakkan semangat cinta negara di sanubari para hadirin.
TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah turut meluangkan masa menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden berdarah di Tanduo, tahun 2013 sebagai simbol penghargaan yang abadi terhadap pengorbanan mereka.
Sambutan kemudiannya melabuhkan tirainya dengan tiupan ‘Rouse’ oleh PDRM serta istiadat menaikkan semula Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah menandakan iltizam yang terus berkobar dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
Turut hadir memeriahkan sambutan ialah YB Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M. Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah; YB Menteri-menteri Kabinet Negeri Sabah; YB Datuk Seri Panglima Surveyor Haji Safar bin Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah; YBhg. Dato’ Seri Haji Rosli bin Isa, Setiausaha Persekutuan Sabah; YDH Datuk Jauteh bin Dikun, Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sabah dan YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2025; YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Hj. Noorrul Azril Ariffin, Panglima 5 Divisyen; YBhg. Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi bin Idris, Panglima Armada Timur dan YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Norli Hisham bin Alwi, TUDM Panglima Wilayah.
Dalam pada itu, sempena sambutan bermakna ini, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) telah menganjurkan Pertandingan Menulis Puisi Sambutan Hari Pahlawan Negeri Sabah 2025. Tiga karya yang mengangkat semangat kepahlawanan dan pengorbanan turut diumumkan dalam majlis ini sebagai pemenang utama iaitu “Api yang Tak Pernah Reda” oleh Christine Stephen Isat, “Bisikan dari Dalam Tanah” oleh Beathres Petrus, dan “Aku Isteri Pahlawan” oleh Edziani Nabila.
Semangat perjuangan dan pengorbanan perwira tanah air akan terus mekar dalam ingatan rakyat Malaysia. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan perjuangan mereka menjadi ilham kepada generasi kini dan akan datang. Selamat Menyambut Hari Pahlawan 2025.
Wira Dikenang, Negara Dijulang!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez & Mohd. Asruddey RusliBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



