Berita: SESI DIALOG BERSAMA-SAMA MBPJ, DBKK KOMITED LAKSANA TRANSFORMASI URUS TADBIR
14 FEBRUARI 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Harta dan Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya telah mengadakan sesi dialog bersama-sama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ke arah memperkukuh dan menanda aras aspek pentadbiran dan pembangunan bandar raya.
Sesi Dialog DBKK Bersama-sama MBPJ ini merupakan kesinambungan daripada lawatan kerja antara kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diadakan sebelum ini, dan melambangkan hubungan kukuh yang terjalin antara kedua-dua pengurusan.
Rombongan MBPJ yang diketuai oleh Puan Hajah Sharinaz binti Haji Samsudin, Pengarah Jabatan Pelesenan, Pembangunan Perniagaan dan Usahawan turut diiringi oleh lima (5) pegawai kanan yang lain antaranya Encik Samsul Bahari Nonchit, Pengarah Teknologi Maklumat; Puan Saliza Mohd. Masri, Ketua Penolong Pengarah (Perolehan); Puan Hasra Aida Hamdan, Penolong Pengarah (Korporat); Encik Muhammad Khairul Asyraf bin Rusli, Penolong Pengarah Pelesenan (Pembangunan Perniagaan) dan Puan Aslin binti Saiman, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat.
Sesi perkongsian amalan terbaik ini telah diadakan selama dua (2) hari pada 13-14 Februari 2025 dan dihadiri seramai 75 orang kakitangan DBKK yang terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi dan pegawai-pegawai kanan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) DBKK mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Hari pertama sesi dialog telah mengupas dua (2) tajuk utama iaitu “Transformasi Perolehan DBKK Melalui Sistem E-Perolehan” yang membentangkan strategi pelaksanaan Sistem E-Perolehan ke arah peningkatan kecekapan pengurusan kewangan, diikuti dengan kupasan tajuk “Memacu Kutipan Hasil Lesen DBKK Ke Tahap Yang Lebih Tinggi”, yang membentangkan strategi dalam mengoptimumkan kutipan hasil, termasuk memanfaatkan pendataan digital ke arah sistem penguatkuasaan yang lebih cekap.
Sesi Dialog pada hari kedua pula telah dipengerusikan oleh Encik Karim bin Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan) DBKK dengan mencakna topik “Strategi Pengurusan Perjawatan: Peralihan Dari Tetap Berpencen Kepada Tetap Tidak Berpencen/ Kontrak” dan “Kualiti Perkhidmatan PBT Dalam Perspektif Star Rating: Isu, Cabaran & Penambahbaikan”.
Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu turut berkesempatan untuk meluangkan masa makan tengah hari bersama-sama rombongan MBPJ dan menzahirkan penghargaan kepada MBPJ atas kesudian menerima undangan, serta menyatakan harapan agar kerjasama antara kedua-dua bandar raya terus diperkukuh.
Sesi dialog ini telah membuka platform perbincangan yang produktif antara DBKK dan MBPJ. Semoga perkongsian maklumat dan pengalaman ini dapat dimanfaatkan dalam meningkatkan kecekapan tadbir urus kedua-dua bandar raya.
Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya!
Liputan: Sarah Zaki
Foto: Renaldo Fernandez dan Bryan Peter#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA DBKK



