Skip to main content

Berita: UPACARA MENAIKKAN BENDERA BANDARAYA KOTA KINABALU, SAAT GEMILANG WARGA KERJA DBKK

  • “Itulah Ikrar, Itulah Janji. Itulah Sumpah, Untuk Berbakti. Dari kami, DBKK”

    Demikian laungan semangat warga kerja DBKK, yang telah hadir bersama-sama memeriahkan Upacara Menaikkan Bendera Bandaraya Kota Kinabalu bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu di pekarangan Bangunan DBKK, pada 02 Februari 2025.

    Genap 25 tahun, Kota Kinabalu tercinta, dinaik taraf sebagai sebuah Bandar Raya, melakar pencapaian penuh makna buat warga Kota Kinabalu dan seluruh keluarga DBKK. Acara penuh istiadat ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang telah hadir bersama-sama isteri, Yang Berbahagia Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi dan kumpulan Pengurusan Tinggi DBKK.

    Sejurus ketibaan, Dato’ Sri Mayor telah menerima tabik hormat daripada pasukan Kawalan Kehormatan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu yang diketuai oleh Inspektor Redzan Shaminan Duman dari Jabatan Penguatkuasaan DBKK, sebelum bersama-sama menyempurnakan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Rendra bin Ahmad, Imam Kariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

    Detik bermakna ini terus dilakar oleh anggota-anggota Jabatan Penguatkuasaan yang diketuai oleh Koperal Nursyahirah Tan Abdullah, yang telah berarak masuk membawa penuh bangga Bendera Bandaraya Kota Kinabalu bagi upacara menaikkan bendera, diiringi lagu “Ikrar Gemilang” oleh Kumpulan Koir Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, di bawah pimpinan Puan Mary Elizabeth Popong, dari Jabatan Hal Ehwal Korporat.

    Menzahirkan komitmen untuk terus menghulur khidmat bakti kepada Bandaraya Kota Kinabalu, seluruh anggota DBKK turut menyempurnakan lafaz Ikrar DBKK yang diketuai oleh Koperal Syazwan bin Safran dari Jabatan Penguatkuasaan, sebelum acara diakhiri dengan tabik hormat daripada pasukan Kawalan Kehormatan DBKK.

    Upacara Menaikkan Bendera Bandaraya Kota Kinabalu ini merupakan sentimen bermakna dan bersejarah bagi meraikan pengisytiharan Kota Kinabalu sebagai sebuah "Bandar Raya" pada 02 Februari 2000.

    Semoga sambutan gemilang ini terus menyuntik semangat warga kerja DBKK, menjana idea pembaharuan yang proaktif, ke arah memacu produktiviti DBKK sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berprestasi tinggi.

    Selamat Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu!

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Liputan: Sarah Zaki.
    Sumber Foto: Asruddey Rusli dan Renaldo Fernandez.

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA DBKK